Diterbitkan pada 28 Julai 2025, 20:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Nairobi – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) meneruskan komitmen memperkukuh usaha kemanusiaan global menerusi sesi perkongsian strategik bersama Persatuan Palang Merah Kenya (Kenya Red Cross Society – KRCS) di Nairobi, baru-baru ini.

Pertemuan tersebut membuka ruang kolaborasi antara kedua-dua pihak bagi memperkasakan strategi filantropi Islam serta memperluas manfaat sosial kepada komuniti yang terkesan khususnya di rantau Afrika Timur.

“Satu langkah signifikan ke arah kebajikan berasaskan nilai Islam di benua Afrika telah diwujudkan oleh KRCS hasil cetusan yang dimulakan oleh MAIPs, yang diketuai oleh Tuanku Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail,” jelas Setiausaha Agung KRCS, Dr. Ahmed Idris.

Sementara itu, Mufti Perlis, Datuk Arif Perkasa Prof. Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dalam sesi perkongsian beliau menekankan bahawa Islam amat menitikberatkan soal keberkatan dalam setiap perkara yang dilaksanakan, dan satu daripada hasil keberkatan adalah apabila sesuatu yang dilakukan itu memberikan impak besar dengan izin Allah.

KRCS turut menghargai inisiatif kemanusiaan MAIPs seperti program Kenya Drought 2018 yang memberikan kesan langsung terhadap sektor air, pertanian dan keselamatan makanan.

Menurut KRCS, lebih daripada 80 peratus kawasan di Kenya masih menghadapi masalah bekalan air bersih dengan lebih daripada 2.5 juta orang penduduk terjejas akibat kebuluran dan angka ini boleh mencecah sebanyak 5.0 juta semasa musim kemarau, iaitu dua tahun sekali.

Di kawasan pelarian Dadaab yang menempatkan pelarian Somalia sejak tahun 1990, KRCS dan IFRC turut mengendalikan hospital lapangan bagi memenuhi keperluan perubatan mendesak.

KRCS berharap kerjasama dengan MAIPs dapat diperkukuh menerusi khidmat nasihat, kepakaran teknikal dan pengurusan dana amanah yang berstrategi untuk meningkatkan impak sosial secara menyeluruh.

Kredit Foto: Ihsan MAIPs
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi