Diterbitkan pada 16 Disember 2021, 22:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kangar  – “Penyata Kewangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Tahun 2020 adalah benar dan saksama serta memberikan gambaran sebenar berdasarkan standard perakaunan yang diperakukan.” Demikian laporan yang diperakukan oleh Ketua Audit Negara.

Terdahulu, Jabatan Audit Negara telah mengeluarkan Sijil Audit Ketua Audit Negara Tanpa Teguran terhadap penyata kewangan MAIPs. Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan menerima sembah mengadap oleh Pengarah Jabatan  Audit Negara (JAN) Negeri Perlis, Abd Aziz Che Daud bagi mempersembahkan Sijil Ketua Audit Negara terhadap pengauditan Penyata Kewangan MAIPs bagi tahun berakhir 2020 di pejabat baginda di Kangar, semalam. Turut berangkat bersama-sama ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Raja Muda Perlis berkenan untuk turut serta dalam majlis mempersembahkan Sijil Ketua Audit Negara terhadap pengauditan Penyata Kewangan MAIPs.

Pengauditan terhadap penyata kewangan MAIPs  bagi tahun 2020 meliputi pengesahan  item dan angka yang diperakaunkan menepati serta mematuhi standard perakaunan yang diterima pakai. JAN juga membuat penilaian terhadap prestasi agihan zakat tahun semasa bagi memastikan agihan zakat dibuat secara telus, mencapai maksud dan sampai kepada golongan sasar.

Dalam sesi tersebut, Abd Aziz merakamkan penghargaan kepada Tuanku Raja Muda yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs serta Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor yang telah menerajui MAIPs dengan baik dan amanah hingga berjaya mengekalkan status Sijil Audit Tanpa Teguran bagi tahun kesembilan berturut-turut. Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs turut melahirkan rasa syukur atas kejayaan memperoleh Sijil Tanpa Teguran berkenaan dan berharap agar masyarakat sentiasa memberikan kepercayaan kepada pengurusan MAIPs yang sentiasa mengutamakan elemen amanah dan integriti dalam tadbir urusnya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi