Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 12 Julai 2025, 21:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Shah Alam – Pameran Kesenian Islam al-Wahyu yang berlangsung di Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor tahun ini mengetengahkan tradisi pengajian Islam di Alam Melayu, dengan memberikan tumpuan kepada kajian sejarah, fungsi dan peranan institusi pondok dalam pembentukan masyarakat yang berilmu di rantau ini.

Majlis perasmian pameran tersebut telah disempurnakan oleh Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor, YB Encik Mohd Najwan Halimi dalam suatu majlis yang diadakan di Dewan Auditorium, Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor semalam.

Menurut beliau, pameran itu bukan sekadar mempamerkan kearifan dan hasil seni, sebaliknya merupakan manifestasi kecintaan terhadap ilmu, penghargaan terhadap tradisi serta pengiktirafan terhadap kebitaraan tamadun Alam Melayu, khususnya dalam aspek pendidikan dan penghayatan agama berasaskan tradisi nabawi.

YB Mohd Najwan turut menegaskan bahawa dalam era modenisasi dan digitalisasi masa kini, kewujudan sistem pondok masih relevan dan signifikan meskipun sering timbul pelbagai persoalan dari sudut keperluannya.

Kata beliau, kebangkitan semula (revivalisme) institusi pengajian tradisional sedang berlaku di seluruh dunia menerusi elemen pengajian talaqqi, iaitu proses menuntut ilmu secara berguru.

Beliau menegaskan bahawa sistem pendidikan moden di universiti tetap memiliki kekurangan, meskipun mempunyai kelebihan dalam pelbagai aspek.

“Pengajian sarjana muda di universiti pada hari ini biasanya tamat dalam tempoh tiga hingga empat tahun sahaja dengan kebanyakan mahasiswa hanya mampu mengejar kredit, jam mata pelajaran tertentu mengikut sukatan yang telah ditetapkan.

“Hal ini berbeza dengan sistem pendidikan pondok yang mengambil masa sangat panjang melalui kaedah pembacaan pelbagai kitab yang perlu dihadamkan oleh penuntut secara menyeluruh,” katanya.

Beliau menyifatkan bahawa kaedah ini sangat dekat dengan konsep close reading dalam teori kritikan sastera yang menekankan pengkajian yang mendalam terhadap teks utama dalam sesuatu bidang ilmu.

Malah, sistem pondok juga menghidupkan budaya bermusyawarah dan pembelajaran aktif melalui suasana bertalaqqi yang menyuburkan pemikiran kritis serta interaksi dua hala antara pelajar dengan guru, sejajar dengan pendekatan pedagogi moden.

“Satu daripada aspek paling berharga dalam tradisi pondok ialah rantaian sanad, iaitu hubungan ilmu yang bersambung sehingga sumber asal, yakni Baginda Rasulullah SAW.

“Konsep ini menanamkan rasa tanggungjawab dan menjamin kesahihan dalam penyampaian ilmu, di samping menolak rantaian ilmu yang terputus daripada nilai dan prinsip,” tambahnya lagi.

Mengulas lanjut, sistem pembelajaran bersanad sangat diperlukan dalam situasi dunia moden yang sedang bergelut dengan lambakan maklumat tanpa autoriti serta ilmuwan “jadian” yang berkongsi maklumat daripada sumber meragukan.

Jelas beliau, sistem pondok turut menekankan pembinaan adab dan akhlak melalui bimbingan langsung daripada guru yang berautoriti.

Sementara itu, Pameran Kesenian Islam Al-Wahyu kali ini dengan tema “Funduq: Legasi Kebitaraan Alam Melayu” berlangsung dari 5 Julai hingga 20 Julai 2025 bermula 9.00 pagi hingga 9.00 malam bersempena dengan Festival Turath Islami Selangor 3.0.

Kredit Foto: Yayasan Restu
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi

Yang Berkaitan