Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBeseri – Majlis Agama dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memberikan sumbangan sebanyak RM20,000 kepada Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Beseri bagi Program Pemerkasaan Kecemerlangan Akademik untuk para pelajar, baru-baru ini.
Sumbangan tersebut merupakan usaha MAIPs untuk menyokong pembangunan intelek dan sahsiah generasi muda di Perlis.
Simbolik sumbangan tersebut dikurniakan oleh Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalillail kepada Pengetua MRSM Beseri, Tuan Haji Rizalmi Dahaman di dewan sekolah tersebut.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Ketua Pengarah MARA, YBhg. Datuk Zulfikri Osman dan Timbalan Ketua Pengarah MARA, YBhg. Encik Zahari Aziz.
Turut berangkat dalam majlis ini ialah anakanda putera DYTM Raja Muda Perlis, Yang Amat Mulia (YAM) Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Dalam majlis tersebut, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah bahawa baginda menzahirkan harapan agar sumbangan tersebut dimanfaatkan kepada program bimbingan, kelas sokongan dan motivasi berimpak tinggi terhadap calon peperiksaan utama.
Baginda yang juga merangkap Yang Dipertua MAIPs turut menekankan kepentingan menyeimbangkan kecemerlangan akademik dengan pembentukan adab, nilai diri dan akhlak terpuji dalam kalangan pelajar.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor berkata bahawa sumbangan tersebut merupakan bukti komitmen MAIPs untuk mendukung kecemerlangan pendidikan dalam kalangan anak Perlis.
“MAIPs sentiasa komited mendukung aspirasi membina ekosistem pendidikan yang holistik yang bukan sahaja cemerlang akademik, malah berteraskan nilai murni dan adab.
“Kita mahu melahirkan anak-anak pelajar yang bukan sahaja bijak, bahkan berakhlak mulia dan menyumbang kepada masyarakat,” ujar beliau.
Tambah beliau, pendekatan bantuan yang diberikan kepada institusi pendidikan seperti MRSM Beseri merupakan langkah strategik untuk memastikan tiada pelajar tercicir daripada mendapat akses kepada program kecemerlangan, khususnya daripada keluarga yang berpendapatan rendah.
Sumbangan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif MAIPs yang menyasarkan bantuan berterusan kepada institusi pendidikan, dengan tumpuan terhadap pelajar sebagai aset masa depan negeri dan negara.

Terdahulu, Tuanku Raja Muda turut berkenan menyampaikan sumbangan MAIPs bernilai RM300 setiap seorang, iaitu jumlah penuh RM12,000 kepada 40 orang pelajar MRSM Beseri daripada kalangan keluarga asnaf terpilih sempena Program MAIPs Peduli serta melibatkan aktiviti turun padang menyantuni masyarakat sekitar bersama-sama warga Kerja MARA dan Alumni MRSM Beseri (ANSERI).

