Diterbitkan pada 4 Julai 2025, 16:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Seremban – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) pada hari ini melakar sejarah baharu apabila Surau MADANI di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban (Arah Selatan), di KM274.6 Lebuhraya Utara-Selatan, diisytiharkan sebagai surau R&R pertama di lebuh raya negara yang mendapat kelulusan untuk mendirikan solat Jumaat.

Menurut PLUS, pengisytiharan tersebut disempurnakan oleh Mufti Negeri Sembilan, Sahibus Samahah Prof. Madya Dato’ Dr. Faudzinaim Haji Badaruddin, di Surau MADANI, R&R Seremban (Arah Selatan), semalam.

“Penyediaan kemudahan untuk mendirikan solat Jumaat ini merupakan usaha dan kolaborasi semua pihak daripada Kerajaan Negeri Sembilan, Jabatan Mufti Negeri Sembilan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, Lembaga Lebuhraya Malaysia serta semua pihak berkepentingan yang terlibat membantu penyediaan inisiatif ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar dalam kenyataan yang sama berkata, Projek Surau MADANI ini merupakan satu daripada usaha berterusan PLUS untuk menambah baik mutu perkhidmatan dan menyediakan kemudahan beribadah yang selesa dan tenang.

Katanya lagi, hal tersebut selaras dengan aspirasi PLUS untuk membina ekosistem lebuh raya yang mesra pengguna, lestari, serta menyokong kesejahteraan komuniti setempat.

Beliau berkata, objektif utama inisiatif pelaksanaan solat Jumaat di R&R Seremban ini adalah untuk menyediakan kemudahan beribadah kepada komuniti pemaustatin yang bekerja di R&R serta penduduk sekitar Labu dan Seremban.

“Inisiatif ini juga dapat memudahkan pengguna lebuh raya yang singgah untuk menunaikan solat Jumaat di surau R&R ini,” ujarnya.

Menurut PLUS, Surau MADANI di R&R Seremban (Arah Selatan) tersebut mampu menampung sehingga 150 jemaah lelaki pada satu-satu masa.

“Surau MADANI direka bentuk dengan menitikberatkan suasana yang selesa, nyaman dan mesra pengguna, terutama bagi warga emas dan golongan berkeperluan khas bagi memastikan semua pengguna lebuh raya mendapat pengalaman beribadah yang lebih baik sepanjang perjalanan mereka,” katanya.

Selain itu, katanya, sebagai persediaan untuk menunaikan solat Jumaat, surau ini telah menjalani proses naik taraf yang meliputi pemasangan mimbar, mihrab, sistem pembesar suara dan penubuhan Jawatankuasa Kariah Penaja Surau Madani R&R Seremban (Arah Selatan).

Tambahnya, jawatankuasa ini dianggotai oleh sebanyak 93 pemastautin tetap yang terdiri daripada rakan niaga serta para pekerja di kawasan R&R Seremban.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi