Diterbitkan pada 6 Julai 2025, 11:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kangar – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyampaikan zakat berjumlah RM105,000 daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada 150 orang asnaf dalam kalangan anak kariah Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail (MTSPJ), Kariah Alwi dan Kariah Repoh.

Terdahulu sebelum pengagihan sumbangan zakat kepada asnaf, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyempurnakan perasmian logo baharu Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail, Kangar dalam majlis perasmian Program Bersama Masyarakat “Anak Sihat, Keluarga Sihat, Komuniti Sejahtera” yang diadakan MTSPJ, Kangar, semalam.

Baginda menyantuni dan menyampaikan sumbangan kepada tiga buah keluarga asnaf terpilih pada kali ini, iaitu Encik Othman Mohamad (81 tahun) dari Kampung Repoh, Puan Maimunah Othman (75 tahun) dari Kampung Padang Behor dan Encik Mohd Rondzan Abdul Latiff (55 tahun) dari Kampung Tok Kandang.

Titah Tuanku Raja Muda Perlis dalam ucapannya, rakyat mestilah bersama-sama memastikan matlamat slogan “Sihat Milik Semua” yang menjadi Agenda Nasional Malaysia Sihat dapat direalisasikan dengan sebaik-baiknya pada segenap peringkat dan lapisan usia masyarakat di Perlis.

Titah baginda lagi,

Kesemua penerima agihan zakat yang bertuah dapat menjalani saringan kesihatan secara percuma, menghadiri Ceramah Bangun Jiwa Asnaf dari MAIPs serta mendengar Ceramah Gaya Hidup Sihat oleh JKN.

Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan meninjau anak kariah masjid yang sedang menjalani pemeriksaan kesihatan semasa Program Bersama Masyarakat “Anak Sihat, Keluarga Sihat, Komuniti Sejahtera” di MTSPJ.

Keberangkatan tiba baginda yang disambut oleh Pengarah Kesihatan Negeri Perlis, Yang Berusaha (YBrs.) Dr. Ghazali Chik ini merupakan anjuran pelatih Kejururawatan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perlis dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) serta MAIPs.

Program yang bermula pada awal pagi dengan sesi senamrobik yang dipimpin oleh wakil dari Unit Promosi Kesihatan JKN Perlis ini disusuli oleh aktiviti Kayuhan MAIPs Peduli yang diketuai sendiri oleh Tuanku Raja Muda Perlis. Pada akhir program, Tuanku Raja Muda Perlis turut berkenan mengadakan lawatan ke reruai pameran dan gerai jualan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi