Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Program bicarawara agama, Forum Perdana Ehwal Islam yang berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada Khamis telah mengupas peranan kesantunan bahasa menurut ajaran Islam yang mencerminkan keperibadian sesebuah bangsa.
Perkongsian forum memperlihatkan fungsi bahasa Melayu yang terus mengorak langkah sebagai bahasa penyatuan ummah dan medium penyampaian agama Islam yang berhemah serta penuh hikmah sejak zaman awal penyebarannya di Nusantara hingga kini.
Forum bertajuk “Tiada Kata Secantik Bahasa” itu bersiaran secara langsung selama satu jam dari Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun DBP ke-69.
Selain itu, program tersebut menampilkan gandingan tokoh agamawan tersohor tanah air sebagai ahli panel, iaitu Mufti Negeri Pulau Pinang, YBhg. Sahibus Samahah Profesor Madya Dato’ Dr. Mohd Sukki Othman; Timbalan Mufti Negeri Pahang, YBhg. Dato’ Haji Badli Shah Alauddin dan Dekan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, YBhg. Profesor Dato’ Dr. Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim.
Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Dato’ Dr. Mohd Anuar Haji Rethwan berkata, program tersebut merupakan langkah strategik DBP dalam usaha memperkukuh jalinan kerjasama dengan institusi lain bagi menjayakan program kebahasaan dalam bentuk aktiviti kerohanian.
Mengulas berkenaan dengan inti pati forum, beliau menyatakan bahawa tajuk forum yang diketengahkan amat bertepatan dengan aspirasi negara yang pesat membangun, khususnya dalam aspek bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa pemersatuan dan bahasa ilmu.
“Walaupun bahasa Melayu menerima pelbagai cabaran daripada pengaruh media elektronik, perjuangan untuk memartabatkan bahasa Melayu hendaklah diteruskan melalui pelbagai bidang,” katanya ketika ditemu bual oleh wartawan JendelaDBP.
Tegas beliau, usaha tersebut harus bermula dari rumah, keluarga dan komuniti, sebelum dikembangkan kepada institusi yang lebih luas agar bahasa Melayu terus berkembang bukan sahaja pada peringkat serantau, malah di persada antarabangsa.
Sementara itu, Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari pula menjelaskan bahawa tujuan utama program itu diadakan adalah untuk memperluas peranan bahasa sebagai wahana penting dalam penyampaian dakwah yang berhikmah.
Menurut beliau, bahasa bukan sahaja alat komunikasi dan penyebaran ilmu, malah menjadi medium utama dalam pembentukan akhlak dan nilai murni dalam kalangan masyarakat.
Kata beliau, pelibatan golongan agamawan dengan hujah berasaskan al-Quran, hadis dan teladan daripada Rasulullah SAW mampu menjadikan penyampaian mesej tentang kepentingan berbahasa dengan santun dan beradab lebih berkesan, terutama kepada generasi muda.

Tambah beliau, kerjasama antara DBP dengan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam siaran langsung forum tersebut membuktikan komitmen DBP untuk terus mendekati masyarakat melalui suara dan peranannya.
“Keberadaan DBP setelah 69 tahun harus dipertingkatkan, bukan sekadar sebagai sebuah badan penerbitan, bahkan sebagai institusi penting dalam soal keagamaan, perpaduan dan kenegaraan,” ujarnya.
“Program ini merupakan satu sejarah yang istimewa kerana selama ini usaha mengembangkan bahasa banyak bergantung pada pendekatan yang lazim tanpa memanfaatkan sepenuhnya kemudahan media massa.
“Dengan adanya siaran langsung seperti ini, kita sudah meletakkan DBP menjadi sebuah organisasi yang setara dengan pelbagai institusi lain,” katanya lagi.
Yang turut hadir dalam program tersebut ialah Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBP, YBrs. Encik Zulfa Hamzah; Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, YBrs. Encik Abang Haliman Abang Julai; Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, YBrs. Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed, Ketua-ketua Bahagian, Ketua-ketua Editor, karyawan DBP serta para pelajar dari Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu dan Sekolah Sukan Bukit Jalil.
