Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melancarkan 10 judul terbitan terbaharunya dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM), iaitu Siri Penghayatan Hadis 40 Imam al-Nawawi di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, petang semalam.
Pelancaran judul sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2025 tersebut bertujuan untuk mengukuhkan usaha mendidik generasi muda melalui pemahaman hadis pilihan yang sarat dengan nilai keimanan, akhlak dan nasihat kehidupan.
Siri ini disasarkan kepada kanak-kanak melalui pendekatan bahasa yang mudah serta ilustrasi yang menarik.

Ketika menyempurnakan pelancaran judul tersebut, Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia, YBhg. Profesor Dr. Mohd Shafry Rahim menegaskan bahawa usaha penghayatan hadis ini sangat signifikan untuk membentuk karakter insan beragama sejak usia kecil.
Dalam ucapannya, beliau memetik Surah al-‘Asr sebagai asas penting kepada nilai kehidupan yang telah diaturkan oleh Allah SWT sepertimana yang terkandung dalam hadis 40 Imam al-Nawawi.
“Surah al-‘Asr ini menceritakan tentang aspek kehidupan, amalan kebaikan dan keimanan terhadap Allah SWT agar manusia tidak mensiakan-siakan masa yang berharga,” ujarnya.
Beliau juga menekankan bahawa hadis 40 Imam al-Nawawi mengajar pelbagai nilai kepada setiap insan, antaranya termasuklah kesabaran yang seharusnya dihayati dalam kehidupan seharian.
Menurutnya lagi, pendekatan penyampaian buku ini yang disesuaikan dengan dunia kanak-kanak membolehkan proses penghayatan ilmu agama dilakukan secara berkesan dan menyeronokkan.
Siri Penghayatan Hadis 40 Imam al-Nawawi ini merupakan medium penyampaian dalam usaha menterjemah, menulis dan menghurai kepada golongan kanak-kanak supaya mudah difahami dan diamati dari segi bahasa.
“Siri penerbitan 10 judul ini membuktikan pengamatan dan kehendak kanak-kanak selari dengan perubahan zaman moden ini,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Editor Bahagian Majalah DBP, YBrs. Dr. Rosmani Omar menyatakan bahawa usaha untuk menerbitkan siri ini merupakan hasil kerjasama DBP menerusi Bahagian Buku Kanak-Kanak Remaja dan UTM yang dimulakan pada Februari 2024 lalu.
Beliau yang menjalankan tugas Pengarah Jabatan Penerbitan DBP menjelaskan, inisiatif ini menyokong usaha Kementerian Pendidikan Malaysia yang membangunkan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam al-Nawawi untuk dijadikan panduan di sekolah.
Inisiatif tersebut merupakan hasrat Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk memberikan pendedahan kefahaman agama Islam terhadap golongan muda.
Menurut beliau, Siri Penghayatan Hadis 40 Imam al-Nawawi ini mempunyai perbezaan daripada siri penghayatan hadis 40 lain yang pernah diterbitkan oleh DBP sebelum ini.
“Buku siri ini dibentuk dengan ilustrasi gambar dalam setiap judul bagi memudahkan anak-anak memahami isi kandungannya,” jelasnya.
Hadis yang dipilih juga merangkumi pelbagai aspek kehidupan seperti keimanan, nasihat sesama manusia dan nilai kemoralan.
Oleh hal demikian, beliau menyarankan ibu bapa agar mendapatkan naskhah buku ini untuk dijadikan bahan pengajaran rohani dalam keluarga.
“Sebanyak 3000 naskhah tersedia di gudang jualan DBP,” ujarnya.
“Ibu bapa perlu mengambil peluang keemasan ini dengan mendapatkan ilmu yang bermanfaat untuk diajar kepada anak,” jelas beliau.

Turut hadir dalam majlis tersebut, Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera DBP, Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed, ketua bahagian serta karyawan DBP.