Diterbitkan pada 21 Mei 2025, 10:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sungai Petani – Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) menyalurkan sumbangan berjumlah RM308,000 kepada Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kedah menerusi Majlis Sumbangan Sentuhan Kasih 2025 yang berlangsung di Dewan Perdana UiTM Kedah, semalam.

Sumbangan tersebut disalurkan melalui Unit Baitulmal MAIK dan diperuntukkan kepada pelajar UiTM Kedah yang layak, di bawah Program Tajaan Makanan (Fidyah) untuk pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di Negeri Kedah bagi tahun 2025.

Menurut Ketua Unit Baitulmal MAIK, YBrs. Tuan Syeikh Muhammad Suhaimi Zulkiflee, penyerahan sumbangan itu merupakan sebahagian daripada usaha memperluas program tajaan ke lebih banyak institusi pengajian tinggi di negeri ini.

Dalam majlis yang sama, Syarikat EMZI Holding Sdn. Bhd. turut menyumbang sebanyak RM19,050.50 menerusi Wakalah Zakat EMZI, yang disampaikan oleh Ketua Komunikasi Korporatnya, YBrs. Encik Roslan Mohamed.

Bantuan tersebut bertujuan untuk membantu pelajar yang kurang berkemampuan untuk melunaskan yuran pengajian, selain menyumbang kelengkapan dan makanan menerusi Projek EMZI-HEA Community Pantry.

Rektor UiTM Kedah, YBhg. Profesor Dr. Roshima Said, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas keprihatinan kedua-dua pihak dalam usaha membantu kebajikan pelajar.

“Sumbangan yang diberikan kepada sebanyak 550 orang pelajar ini mencerminkan keprihatinan yang tinggi serta melambangkan semangat ukhuwah Islamiah dan nilai kemanusiaan yang luhur,” ujar beliau.

Mengulas tentang sumbangan daripada EMZI, beliau menyifatkan komitmen syarikat itu sebagai satu usaha yang memberikan impak positif secara langsung kepada kesejahteraan pelajar di kampus.

Turut hadir, Penolong Naib Canselor (Pemerkasaan Adiwangsa) UiTM Shah Alam, Profesor Dr. Amer Shakir Zainol, Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik UiTM Kedah, YBrs. Dr. Junaida Ismail, kakitangan UiTM serta wakil daripada MAIK dan EMZI.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi