Diterbitkan pada 20 Mei 2025, 18:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) Tahun 2024 menunjukkan pencapaian calon sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada tahun 2024 lebih baik berbanding dengan tahun 2023.

Menurut KPM, keputusan peperiksaan STAM bagi tahun 2024 telah menunjukkan peningkatan, apabila Gred Purata Kebangsaan (GPK) pada tahun ini adalah sebanyak 3.00 mata, berbanding dengan 3.09 mata pada tahun 2023 – perbezaan sebanyak 0.09 mata.

GPK bagi calon sekolah KPM pada tahun 2024 pula adalah sebanyak 2.81 mata berbanding dengan 2.91 mata pada tahun 2023 – perbezaan sebanyak 0.10 mata.

KPM memaklumkan bahawa sebanyak 4507 orang calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan STAM pada tahun 2024.

Daripada jumlah tersebut, jelas KPM, sebanyak 1552 (34.4%) orang calon daripada sekolah KPM; 1726 (38.3%) orang calon daripada Sekolah Menengah Agama Negeri; 296 (6.6%) orang calon daripada Sekolah Menengah Agama Rakyat; 29 (0.6%) orang calon daripada sekolah menengah swasta; manakala sebanyak 904 (20.1%) orang calon persendirian.

KPM berbesar hati apabila sebanyak 34 orang calon berjaya mendapat keputusan Mumtaz dalam semua mata pelajaran STAM.

Ujar KPM, “Terima kasih kepada semua pemeriksa dan petugas peperiksaan yang telah memastikan pengurusan pengendalian peperiksaan STAM Tahun 2024 berlangsung dengan lancar dan teratur.”

“Setinggi-tinggi tahniah dan selamat maju jaya diucapkan kepada semua calon peperiksaan STAM Tahun 2024,” kata KPM dalam kenyataannya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi