Diterbitkan pada 20 Mei 2025, 18:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar menyeru seluruh umat Islam di negara ini untuk bersolidariti, serta bersama-sama mengadakan Solat Hajat dan Qunut Nazilah sebagai rasa tanggungjawab dan simpati terhadap penderitaan yang sedang dialami oleh rakyat Palestin di Gaza.

Beliau menyarankan agar umat Islam berdoa dan bermunajat untuk rakyat Palestin khususnya di masjid dan surau di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im berkata, dalam tempoh yang amat kritikal ini, rejim Zionis sedang menggandakan serangan dan tekanan ke atas bumi Gaza yang telah sekian lama dizalimi.

“Sebagai umat Islam yang prihatin dan bersaudara, marilah kita bersatu hati memohon pertolongan Allah SWT agar melindungi saudara-saudara kita di sana daripada sebarang bentuk kezaliman dan kemusnahan,” katanya dalam kenyataan, tengah hari tadi.

Beliau turut menyeru semua imam masjid dan surau JAKIM serta JAWI untuk memimpin bacaan Qunut Nazilah dalam solat berjemaah, terutamanya ketika solat subuh, maghrib dan isyak serta memperbanyak doa khusus untuk keselamatan rakyat Palestin serta pembebasan bumi al-Quds.

“Semoga usaha ini menjadi manifestasi solidariti umat Islam Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin dan mendapat ganjaran besar di sisi Allah SWT,” ujarnya.

Kredit Foto: Facebook Dato' Setia Dr. Naim
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi