Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKazan – Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyeru negara Islam untuk memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang strategik secara menyeluruh, khususnya dalam bidang ekonomi, teknologi dan peralihan tenaga demi kekuatan bersama pada peringkat global.
Ketika berucap dalam Forum Ekonomi Antarabangsa Ke-16 “Russia – Dunia Islam: KazanForum” 2025, beliau mengakui bahawa meskipun isu kerjasama antara negara Islam telah lama dibincangkan sejak beberapa dekad, namun pelaksanaannya masih perlahan.
“Tarif baharu, sekatan dan tekanan geopolitik tidak akan menghalang kita. Marilah kita bekerjasama mengukuhkan asas kita, yang semestinya bermula dengan ekonomi,” ujar beliau dalam ucaptamanya pada Jumaat lalu.
Pada masa yang sama, beliau menzahirkan penghargaan kepada negara Republik Tatarstan atas inisiatif penganjuran KazanForum 2025 dan Presiden Rusia, Tuan Yang Terutama (TYT) Vladimir Putin menyokong forum itu agar menjadi lebih pragmatik dan bermakna dalam usaha memperkukuh kekuatan negara Islam.
Selain itu, beliau turut mengangkat semangat ketahanan dan keteguhan rakyat Tatar sebagai inspirasi kepada dunia Islam untuk memperkasakan daya saing ekonomi dan menolak tekanan luar.
Jelas beliau, semangat dan dinamisme yang dipamerkan oleh negara berkenaan seharusnya menjadi contoh kepada negara Islam untuk memperkukuh asas ekonomi bersama dalam pelbagai bidang seperti keselamatan makanan, digital dan petrokimia.
Dalam ucapannya juga, YAB Dato’ Seri Anwar menyeru agar negara Islam menjalinkan kerjasama dalam industri halal global, yang kini bernilai lebih daripada tiga trilion dolar menerusi pengukuhan pakatan ekonomi halal merentasi rantau dari Negara Teluk ke Timur Tengah, Afrika dan Asia.
Di samping itu, beliau memaklumkan tentang kepentingan dan keperluan negara Islam untuk bersedia menghadapi cabaran baharu termasuklah peralihan tenaga global.
“Kewangan Islam bukan soal mengamalkan hanya apa-apa yang dipanggil sebagai bebas riba, tetapi untuk memasuki inovasi baharu supaya dapat menawarkan satu alternatif dan ekonomik yang berdaya maju untuk dunia Islam dan juga penyertaan bukan Islam dalam masyarakat kita dan dalam negara bukan Islam,” katanya.
Mengulas kedudukan Malaysia dalam ASEAN, beliau berkata, negara ini bertuah kerana mempunyai hubungan yang baik dan saling mempercayai dalam kalangan negara anggotanya.
Sebagai langkah ke hadapan, beliau berkata, negara ASEAN telah memulakan beberapa inisiatif praktikal seperti Grid Kuasa ASEAN yang menghubungkan negara anggota.
Sehubungan dengan itu, semangat kerjasama antara negara Islam dengan negara jiran di rantau tersebut memberikan impak yang besar dalam usaha meningkatkan taraf hidup rakyat.
Dalam inti pati ucapannya, penerimaan transformasi digital terutamanya dalam bidang kecerdasan buatan yang lebih cepat akan menjamin kehidupan manusia.
Namun begitu, beliau mengingatkan bahawa kemajuan ekonomi, peralihan tenaga dan transformasi digital perlu seiring dengan pembangunan nilai dan akhlak berdasarkan ajaran Nabi Muhammad SAW.
Tambahnya lagi, keprihatinan terhadap isu kemanusiaan sejagat termasuklah penderitaan di Gaza perlu ditangani dengan rasa tanggungjawab moral.
Nilai kekeluargaan, amanah, keadilan, kehormatan dan maruah manusia merupakan perkara penting. Kita menolak ketiadaan kod moral, kepura-puraan, serta tindakan membiarkan ribuan wanita dan kanak-kanak dibunuh di Gaza setiap hari. Kita percaya bahawa manusia mempunyai maruah, tidak kira sama ada Muslim ataupun bukan Muslim.
Pada masa yang sama, beliau menggesa anak muda diberikan ruang untuk menyuarakan pandangan mereka terhadap isu yang dibincangkan dalam forum berkenaan agar suara mereka bukan sahaja didengar, bahkan juga diberikan pertimbangan yang serius demi masa hadapan dunia Islam.
Forum Ekonomi Antarabangsa Ke-16 “Russia – Dunia Islam: KazanForum” 2025 turut menampilkan kehadiran Timbalan Perdana Menteri Persekutuan Rusia, TYT Marat Khusnullin; Pengerusi Majlis Rakyat Turkmenistan, Gurbanguli Berdimuhamedov; dan Rais Republik Tatarstan, TYT Rustam Minnikhanov.