Diterbitkan pada 10 Disember 2021, 02:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

KUALA LUMPUR – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan oleh kerajaan bagi mengawal penularan wabak pandemik COVID-19 telah memberikan kesan yang mendalam terhadap kehidupan dan kerjaya rakyat Malaysia khususnya, termasuklah dari segi kewangan dan kesihatan mental. Kebimbangan terhadap perkara tersebut menjadi faktor seseorang itu stres dan seterusnya meningkatkan kadar bunuh diri.

Demikian menurut Dr. Ahmad Badruddin Abdullah (INTAN) yang merupakan ahli panel dalam Forum Integriti bertajuk “Pembudayaan Kerja Secara Digital: Era Ketegangan Fitrah Manusiawi” anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Kuala Lumpur. Forum yang diadakan di Balai Budaya Tun Syed Nasir DBP itu juga dapat disaksikan melalui saluran media sosial rasmi DBP.

Forum ini diadakan antara lain bertujuan untuk membincangkan tentang kesihatan mental dan budaya kerja yang terbaik dalam era digital dan norma baharu, di samping manfaat dan batas kebebasan era digital dari perspektif Islam dan kekeluargaan. Mengulas tentang budaya kerja terbaik dalam era digital ini, Ustaz Shahrul Azam Noor Zeli memetik kata-kata Profesor Kamal Hasan yang menggelar zaman ini sebagai zaman “global fasad” kerana banyaknya kefasadan yang berlaku dalam dunia mutakhir ini disebabkan kecanggihan teknologi maklumat.

 

Dalam mengamalkan budaya kerja secara digital ini, umat Islam ada kepercayaan yang perlu ditekuni, iaitu percaya kepada rukun Iman. Maka keimanan itu perlu diperkukuhkan melalui sifat takwa. Keyakinan kita bukan pada manusia yang melihat tetapi kamera litar tertutup (CCTV) Yang Maha Agung, iaitu Allah melihat apa-apa yang kita buat. Kita kena kenal siapa kita, dan kenal tanggungjawab kita kepada Tuhan dalam konsep takwa.

Kenyataan itu disokong oleh Encik Mohd Hisham Hatimtai yang mengatakan bahawa pandemik COVID-19 telah menjadi penggalak atau memaksa manusia untuk lebih dekat dengan teknologi. Oleh sebab itu, dalam Pelan ICT Sektor Awam 2021-2025 beberapa perancangan telah dibuat untuk mendepani masalah ini.

Antaranya termasuklah 100 peratus penjawat awam mestilah celik teknologi maklumat, menjelang tahun 2025, 80 peratus perkhidmatan awam perlu dilakukan secara atas talian, menjelang tahun 2022 perkhidmatan kerajaan perlu ada bayaran secara atas talian, dan semua agensi kerajaan menggunakan pelayan awan (cloud server).

Menurut Dr. Ahmad Badruddin, generasi X lebih berhadapan dengan cabaran untuk mengikuti arus gelombang digital hari ini. Hal ini berikutan, generasi X melalui zaman separa canggih yang masih boleh di kesampingkan ketika itu. Hari ini generasi X berusaha keras untuk seiring dalam dunia teknologi digital. Hal ini menunjukkan semakin ke hadapan sesuatu generasi, maka semakin celik generasi tersebut terhadap teknologi. Beliau berpendapat bahawa setiap individu dari pelbagai generasi perlu terbuka untuk menerima kemajuan teknologi digital. Penerimaan ini akan membantu memudahkan individu tersebut menghadapi cabaran yang memerlukan mereka berusaha keras untuk bergerak seiring dengan teknologi. Penerimaan ini juga akan mengurangkan penderitaan individu dari aspek emosi dan motivasi dalam bekerja.

Bercakap mengenai isu pembudayaan kerja dalam tempoh PKP menyebabkan arahan kerja tanpa mengenal waktu untuk mencapai KPI organisasi, menurut Encik Mohd Hisham, hal ini tidak tidak dapat dinafikan apabila dalam tempoh tiga bulan, sebanyak 5000 mesyuarat dan aktiviti yang melibatkan kegiatan secara dalam talian dijalankan. Tidak mustahil perjalanan kegiatan tersebut termasuk waktu selepas jam bekerja dan waktu malam. Demikianlah, budaya kerja kebiasaan baharu apabila interaksi dua hala boleh berlaku di mana-mana dan bila-bila masa sahaja.

Pada penghujung sesi forum tersebut, beberapa kesimpulan dapat dibuat oleh ahli panel, iaitu rakyat khususnya penjawat awam terhadap teknologi digital ini perlu menerima formula 3A, iaitu Adopt – ambil dan cuba; Adapt – terima dan biasakan; Absorb – jadikan kebiasaan. Walau bagaimanapun, harus diingat setiap perkara akan ada kebaikan dan keburukannya yang terpaksa dihadapi. Manfaatkanlah teknologi dengan cara yang betul dan memberikan faedah kepada diri, organisasi dan masyarakat dan bukan pula sebaliknya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi