Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBangi – Program Bakti Siswa: Pemindahan Ilmu dan Khidmat Komuniti Kampung Selarong (OPKIM 2.0) kembali mewarnai Kampung Selarong buat tahun kedua berturut-turut, dengan kerjasama erat pelbagai agensi termasuk Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak, Yayasan Taqwa, Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Jabatan Agama Islam Perak dan Majlis Daerah Pengkalan Hulu.
Inisiatif yang bakal berlangsung pada 28 April 2025 hingga 3 Mei 2025 ini turut mendapat sokongan daripada pertubuhan bukan kerajaan, industri serta komuniti setempat, yang menzahirkan keyakinan terhadap peranan mahasiswa dalam pembangunan masyarakat luar bandar.

Diterajui oleh 97 orang mahasiswa tahun ketiga dari Pusat Kajian al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam (FPI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), OPKIM 2.0 merupakan lanjutan daripada kejayaan OPKIM 1.0 yang dilaksanakan pada tahun 2024 yang menyaksikan transformasi menyeluruh terhadap komuniti Kampung Selarong sehingga diangkat sebagai Naib Johan Desa Aspirasi MADANI Negeri Perak.
Menurut pihak Pusat Kajian al-Quran dan al-Sunnnah FPI UKM, hasrat utama OPKIM pada tahun ini memberikan fokus pada peningkatan kemahiran insaniah mahasiswa serta mengambil kira keperluan penduduk kampung dan memperkasakan kelompangan yang dapat dikesan pada OPKIM 1.0.
“Dengan bertemakan ‘Rasulullah sebagai Inspirasi: Khidmat Komuniti Bersama Penduduk Kampung Selarong’, OPKIM 2.0 menjadi cerminan pendekatan Islam dalam pembangunan masyarakat luar bandar melalui penglibatan mahasiswa.
“OPKIM 2.0 menggabungkan pelbagai bentuk aktiviti yang mencakupi aspek pendidikan, kebajikan, ekonomi, kesihatan, keusahawanan dan kesenian yang menjadikan program ini lebih menyeluruh dan inklusif,” katanya.
Tambahnya, program ini merupakan sebahagian daripada kursus akademik Syama’il Muhammadiyyah (PPQA3163), karya Imam al-Tirmidzi yang mengangkat keperibadian dan akhlak Rasulullah SAW sebagai model insan unggul melalui nilai nabawi dalam konteks sebenar masyarakat dengan menggunakan pendekatan pembelajaran berimpak tinggi berteraskan konsep Service-Learning Malaysia – University for Society (SULAM).
Matlamat utama OPKIM 2.0 adalah untuk merapatkan jurang antara kampus dan komuniti. Pendekatan ini memperkasakan kemahiran insaniah mahasiswa serta menyalurkan sumbangan intelek dan bakti mereka secara langsung kepada masyarakat.
Antara pengisian utama termasuklah Program Memacu Kecemerlangan Sahsiah dan Akademik yang menyasarkan pelajar sekolah, sesi motivasi bersama alumni berjaya, serta tazkirah agama yang memperkukuh dimensi spiritual komuniti.
Aspek pembangunan ekonomi turut diberi perhatian menerusi bengkel keusahawanan, literasi kewangan, dan program Celik Halal Produk IKS, selain taklimat zakat dan strategi koperasi desa bersama ANGKASA.
Inisiatif ini bertujuan memperkukuh daya saing ekonomi komuniti luar bandar secara berstruktur dan mampan.
Program Ziarah Kasih dan Santuni Asnaf, Gotong-Royong Perdana, serta Riadah Sihat pula membolehkan mahasiswa memberikan sumbangan serta sokongan secara fizikal dan rohani kepada segmen terkesan, serta menjadi platform penyatuan masyarakat setempat dalam suasana penuh muhibah dan semangat kesukanan.
“Menambah nilai kepada program tahun ini, Persidangan Antarabangsa Inspirasi Nabawi akan turut dianjurkan yang mengangkat tema pendidikan Islam, khidmat komuniti dan transformasi sosial,” jelas pihak Fakulti Pengajian al-Quran dan al-Sunnah FPI UKM.
Persidangan ini menghimpunkan pemikir, akademik dan pemimpin komuniti dari dalam dan luar negara yang turut meletakkan OPKIM sebagai sebahagian daripada wacana antarabangsa.
Uniknya, Program Mahasiswa Angkat mencipta pengalaman unik apabila para pelajar ditempatkan bersama-sama keluarga angkat, membina kefahaman budaya, jalinan emosi dan nilai tanggungjawab sosial dalam suasana sebenar kehidupan masyarakat luar bandar.
Menurut pihak Pusat Kajian al-Quran dan al-Sunnah FPI UKM lagi, kejayaan OPKIM 2.0 terletak pada kekuatan kolaboratif pelbagai pihak dan keprihatinan terhadap pembangunan komuniti.
Tambahnya, “Dengan sokongan padu daripada DBP dan agensi strategik lain, program ini bukan sahaja menanam nilai kasih dan ilmu dalam kalangan mahasiswa, tetapi turut menyumbang kepada masa hadapan yang lebih cemerlang bagi masyarakat luar bandar.”
“OPKIM bukan sekadar program biasa, tetapi merupakan manifestasi cinta ilmu, kasih pada masyarakat dan tauladan dari Rasulullah SAW yang diterjemahkan dalam bentuk amal; membina mahasiswa berjiwa rakyat; membentuk komuniti yang mandiri; dan mencorak masa hadapan yang lebih cerah untuk generasi akan datang,” ujarnya.
Penulis ialah Pensyarah Pusat Kajian al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia.