Diterbitkan pada 21 April 2025, 14:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Shah Alam – Sebanyak 8338 orang bakal haji dari Selangor mempersiapkan diri untuk fasa akhir menerusi Kursus Perdana Haji Musim 1446H/2025M anjuran Lembaga Tabung Haji (TH) yang diadakan secara berperingkat di seluruh negara bermula pada 11 April hingga 4 Mei 2025.

Bagi musim haji 1446H/2025M, Selangor mencatatkan jumlah jemaah haji paling tinggi, iaitu sebanyak 8338 orang yang terdiri daripada 3609 orang jemaah lelaki dan 4729 orang jemaah wanita.

Kursus selama dua hari satu malam merupakan kemuncak kursus haji bagi memperkukuh kefahaman berkaitan dengan manasik (tatacara pelaksanaan) haji kepada bakal jemaah haji terpilih pada musim ini sebelum berangkat ke tanah suci yang melibatkan aktiviti praktikal seperti tawaf, sa’ie, mabit dan melontar.

DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj berkenan mencemar duli menyempurnakan penutupan Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Selangor yang diadakan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, pada hari ini.

Baginda bertitah, para jemaah haji Selangor sentiasa menjaga tahap disiplin dan kesihatan diri sepanjang berada di tanah suci.

Baginda juga bertitah dengan seruan agar para jemaah menumpukan masa dan tenaga kepada ibadah serta mematuhi segala peraturan semasa di tanah suci.

Sehubungan dengan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Mokhtar berkata, kursus perdana ini dirangka bagi memberikan gambaran suasana sebenar di tanah suci sekali gus melatih bakal haji agar bersedia menghadapi pelbagai situasi mencabar semasa kemuncak haji yang menghimpunkan hampir tiga juta orang jemaah dari serata dunia.

“Saya ingin mengingatkan bakal haji untuk mempersiapkan diri sepenuhnya sebelum berangkat ke tanah suci, bukan sahaja dari segi persiapan barangan, tetapi lebihkan persiapan mental dan rohani, tingkatkan kefahaman ilmu agama dan ibadah haji,” kata beliau.

Sementara itu, beliau berkata, bakal haji juga diingatkan supaya menjaga dan meningkatkan tahap kesihatan dengan melakukan senaman, membiasakan diri untuk minum air dengan kerap dan bersedia dengan ubat-ubatan yang disarankan oleh pihak doktor kerana hari wukuf pada tahun ini masih lagi dalam musim panas.

Saban tahun, beberapa peringkat kursus telah dianjurkan oleh TH bermula dengan Kursus Asas, diikuti oleh Kursus Intensif, Kursus Khas dan seterusnya disempurnakan dengan Kursus Perdana bagi bakal haji di seluruh negara.

Turut hadir dalam majlis perasmian ini ialah Menteri Besar Selangor, YAB Dato’ Seri Amirudin Shari, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Syed Hamadah Syed Othman, selain barisan kepimpinan kerajaan negeri dan agensi.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi