Syaza Wardina .
Diterbitkan pada 15 April 2025, 20:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyempurnakan pelancaran buku Dakwah Bil Hal: 111 MAIPs Peduli Tahun 2024 terbitan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dalam satu majlis yang berlangsung di Laman Warisan Arau, semalam.

Pelancaran buku ini diadakan sempena Sambutan 25 Tahun, Jubli Perak Pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail sebagai Raja Perlis.

Keberangkatan Tuanku Raja Muda Perlis disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor bersama-sama barisan pengurusan tertinggi MAIPs dan ketua jabatan serta agensi negeri dan persekutuan.

Menurut MAIPs, buku tersebut memaparkan kejayaan pelaksanaan 111 siri Kayuhan MAIPs Peduli sepanjang tahun 2024.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2013, program ini telah mencatatkan sejumlah 978 kayuhan secara keseluruhan, dengan sebanyak 51 028 orang penerima manfaat dan jumlah agihan zakat mencecah RM33.2 juta khusus untuk inisiatif tersebut.

Tuan Haji Mohd Nazim berkata, kayuhan MAIPs Peduli merupakan program kebajikan berasaskan aktiviti berbasikal yang diperkenalkan oleh Tuanku Syed Faizuddin selaku Tuanku Yang Dipertua MAIPs, yang bertujuan untuk mendekati masyarakat serta menyampaikan bantuan zakat secara terus kepada golongan asnaf di seluruh Perlis.

“Pendekatan turun padang ini selaras dengan Pelan Strategik MAIPs 2021–2025 dan mencerminkan komitmen tinggi MAIPs dalam usaha memperkukuh sistem pengurusan zakat dan kebajikan yang berkesan serta berimpak,” jelas beliau.

Tambah beliau, program ini turut menjadi antara pencapaian utama hasil pelaksanaan Transformasi Pengurusan MAIPs yang dimulakan sejak tahun 2011 dengan kerjasama pihak Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), yang bertujuan untuk menjadikan MAIPs lebih mesra rakyat, profesional dan inklusif.

Pendekatan ‘jejak asnaf’ melalui kayuhan ini membolehkan keperluan masyarakat dikenal pasti secara terus dan tindakan segera dapat diambil.

Jelasnya lagi, majlis pelancaran ini turut memperkukuh peranan institusi diraja sebagai payung kesejahteraan rakyat.

Keberkesanan pendekatan kepimpinan Islam dalam program ini turut menjadi sorotan dalam kajian ilmiah oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, menerusi kajian bertajuk “The Importance of Islamic Regal Leadership in Zakat Delivery to the Asnaf in Perlis” yang menegaskan bahawa kepimpinan diraja memainkan peranan penting untuk memastikan agihan zakat bukan sahaja sampai kepada yang berhak, tetapi juga memberikan nilai tambah kepada kehidupan mereka.

Kayuhan MAIPs Peduli kini menjadi simbol kepimpinan berjiwa rakyat dan bukti bahawa pendekatan dakwah bil hal mampu membentuk masyarakat yang lebih peduli, sejahtera dan bersatu.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi