Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 11 April 2025, 22:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Shah Alam – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Sepang akan memastikan tindakan pengosongan tanah di tapak pembangunan Masjid Dengkil dibuat dalam tempoh satu bulan.

Menurut Pengarah JAIS, YBhg. Dato’ Haji Mohd Shahzihan Ahmad, pencerobohan tanah di bawah kawalan JAIS merupakan perkara serius dan tindakan yang diambil adalah selaras dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bahawa tanah tersebut perlu bersih daripada sebarang pencerobohan.

“JAIS akan terus memastikan bahawa tiada sebarang bentuk pencerobohan terhadap mana-mana tanah di bawah kawalannya dan akan mengambil tindakan yang sewajarnya jika berlaku” ujarnya dalam suatu kenyataannya hari ini.

Semua tanah warta JAIS akan diperiksa semula dalam tempoh satu bulan akan datang.

JAIS akan bersama-sama dengan  PDT dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam perkara ini.

Terdahulu, isu pencerobohan tanah JAIS baru-baru ini tular berikutan terdapat pembinaan rumah ibadat lain di atas tanah pembangunan Masjid Dengkil yang diwartakan oleh kerajaan pada 9 April lalu.

Beliau memaklumkan bahawa pihak yang berada di tanah JAIS tersebut merupakan individu yang dipindahkan dari Ladang Galloway berikutan pengambilan tanah oleh kerajaan bagi projek pembangunan Cyberjaya.

“PDT Sepang telah memberikan penempatan baharu bagi aktiviti individu tersebut berpindah ke tanah rizab Sungai Langat dan mendapat status menduduki sementara (TOL),” katanya.

Selain itu, beliau menjelaskan bahawa, Kerajaan Negeri Selangor telah mengarahkan individu tersebut untuk mengosongkan tanah pada tahun 2007 bagi tujuan rizab masjid dan berlaku tuntutan pampasan atas arahan berkenaan.

Tambah beliau lagi, kerajaan negeri mewartakan tanah seluas 10 ekar bagi tujuan pembinaan masjid pada tahun 2011 dan sebahagiannya ialah tanah rizab Sungai Langat yang diusahakan oleh pihak terbabit tanpa mengeluarkan individu berkenaan yang menduduki tanah itu.

Sejak awal pewartaan dibuat terhadap tanah bagi tujuan pembinaan masjid, JAIS menganggap tanah tersebut kosong daripada sebarang aktiviti dan pembinaan premis.

Kata beliau, pada tahun 2024, JAIS mengesan wujud aktiviti dan pembinaan premis di atas tanah bagi pembinaan sebuah masjid yang akan dimulakan pada tahun 2026.

Sehubungan dengan itu, JAIS telah mengeluarkan surat bertarikh 10 September 2024 kepada PDT Sepang untuk mengambil tindakan mengikut undang-undang bagi pengosongan tanah.

Beliau mengulas bahawa, dengan tindakan ini, JAIS berpandangan bahawa laporan polis tidak perlu dibuat kerana PDT Sepang mempunyai kuasa di bawah Kanun Tanah Negara 1965 untuk menguatkuasakan pengosongan tanah kerana wujud aktiviti dan pembinaan premis tanpa mendapat kebenaran daripada JAIS.

“Namun, JAIS mengakui tiada tindakan susulan diambil oleh PDT terhadap surat daripada JAIS,” ujarnya lagi.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi