Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 10 April 2025, 18:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kangar – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bukan sekadar pentadbir hal ehwal agama Islam, tetapi menjadi pemangkin kepada pembangunan komuniti Islam, khususnya dalam usaha mengeluarkan golongan asnaf daripada kitaran kemiskinan.

Menurut MAIPs dalam menerusi kenyataannya, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa tanggungjawab MAIPs tidak hanya menyantuni asnaf dengan bantuan kewangan, bahkan merancang serta melaksanakan program jangka panjang yang dapat memperkasakan mereka agar mampu berdikari.

Sesungguhnya Islam menganjurkan keseimbangan dalam kehidupan manusia, merangkumi aspek rohani, pendidikan dan ekonomi.

“Program ini bukan sahaja memberikan manfaat kepada penerima zakat, tetapi juga berupaya menjana ekonomi negeri serta memperkukuh institusi keluarga dan masyarakat secara keseluruhannya,” ujarnya.

Selain itu, baginda menzahirkan penghargaan atas segala inisiatif dan kerja kuat MAIPs memperkenalkan pelbagai program berbentuk pembangunan modal insan, keusahawanan serta latihan kemahiran kepada asnaf dan golongan yang berpendapatan sederhana di negeri ini.

Sementara itu, baginda berkenan berangkat mempengerusikan Persidangan MAIPs Sidang Kedua bagi Tahun 2025 yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri (PPPN) Perlis baru-baru ini.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika mempengerusikan Persidangan MAIPs Sidang Kedua bagi Tahun 2025.

Keberangkatan baginda telah disambut oleh ahli mesyuarat dan Pengarah Pembangunan Persekutuan Negeri Perlis, YBrs. Puan Maznah Musa.

Pada masa yang sama, baginda turut menyaksikan acara penyerahan Surat Niat Kerjasama Perkongsian Data eKasih dan Maklumat Asnaf Negeri Perlis antara MAIPs dengan pihak PPPN Perlis.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi