Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Pelajar dan anak Malaysia perlu disantuni dengan lebih banyak pengisian kerohanian.
Menurut Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), pihaknya mengucapkan penghargaan kepada Majlis Amanah Rakyat (MARA) atas tindakan pantas serta tegas dalam menangani isu buli di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Pulau Pinang, baru-baru ini.
Katanya, pihaknya mengharapkan tindakan tersebut akan menjadi satu pengajaran tegas kepada pelajar seluruh negara agar menghindarkan diri daripada gejala buli.
“Hal ini juga merupakan peringatan kepada ibu bapa untuk sentiasa berinteraksi dengan anak serta memberikan bimbingan dan nasihat langsung,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
YADIM berkata, semua pihak perlu menjadikan insiden ini sebagai satu cerminan bahawa pendekatan dakwah perlu lebih menyerap ke dalam sistem pendidikan negara.
Katanya, sebagai usaha ke hadapan, pihaknya mencadangkan agar satu modul pemulihan kerohanian pelajar diwujudkan untuk pelaku buli agar hukuman tidak memberikan sekadar rasa takut, tetapi juga kesedaran dan taubat.
Pembuli bukan hanya perlu dihukum, tetapi juga dibimbing.
“Dalam kes ini, YADIM menggesa agar pelaku buli ini juga mendapat sesi pemulihan rohani seperti modul tarbiah khas untuk pembuli, iaitu pemukiman jiwa seperti solat tahajud, tazkirah, refleksi serta ziarah ke rumah anak yatim dan mangsa buli,” jelasnya.
Katanya, program ini bertujuan untuk menyembuhkan jiwa dan bukan hanya menghukum mereka, seterusnya memanusiakan pembuli tanpa membuatkan mereka melupakan kesalahan yang telah dilakukan oleh mereka.
Tambahnya, pada masa yang sama, program ini juga mengembalikan fokus kepada dakwah rohani dan bukan sekadar pencegahan atau hukuman.
Menurut YADIM, pada ketika ini, inisiatif melestarikan dakwah YADIM sudah bermula pada peringkat sekolah menerusi Rakan Remaja YADIM sebelum bergerak lebih lanjut di institusi pengajian tinggi menerusi Rakan Belia YADIM dan Rakan Siswa YADIM.
Jelasnya, ejen dakwah YADIM ini melaksanakan pelbagai inisiatif dakwah lapangan yang menyantuni pelbagai lapisan masyarakat dan komuniti menerusi pelbagai pendekatan.
YADIM berkata, pihaknya sedia bekerjasama dengan mana-mana institusi bertanggungjawab untuk menjayakan misi melestarikan gerakan dakwah bagi mengatasi masalah buli ini.
“YADIM akan kekal komited untuk menjadikan pendidikan sebagai medan dakwah yang menyeluruh,” ujar YADIM.
Pihak YADIM berharap semoga usaha dakwah melalui pendidikan terus subur bagi membina generasi berjiwa MADANI, luhur pekerti dan seimbang dunia serta akhirat.