Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bakal mengadakan perbincangan khas Muzakarah Majlis Hal Ehwal Islam Kebangsaan (MKI) dengan kadar segera bagi meneliti fatwa daripada Jawatankuasa Ijtihad dan Fatwa, Kesatuan Ulama Islam Sedunia berkaitan dengan isu pencerobohan Israel ke atas Gaza, Palestin.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat (YB) Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar, penelitian terhadap fatwa berkenaan akan dilaksanakan secara mendalam dan menyeluruh.
Selain itu, beliau menjelaskan bahawa pihaknya mengambil maklum tentang fatwa tersebut dan telah meminta agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk mengadakan libat urus bersama-sama para agamawan dan pertubuhan Islam.
Tambahnya lagi, sesi libat urus itu adalah untuk membincangkan implikasi fatwa tersebut dari pelbagai sudut demi menjaga kepentingan serta kesejahteraan negara dan umat Islam, khususnya di Gaza.
“Fatwa ini hadir dalam suasana krisis kemanusiaan yang amat meruncing, yang menyaksikan kezaliman berterusan terhadap rakyat Palestin khususnya di Gaza,” ujarnya.
Agensi di bawah portfolio saya juga akan terus komited melaksanakan pelbagai usaha bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan, termasuklah melalui Tabung Kemanusiaan Palestin yang telah ditubuhkan untuk meringankan beban kehidupan rakyat Gaza yang sedang diuji.
“Kita semua memikul tanggungjawab bersama untuk terus menyuarakan sokongan, menzahirkan solidariti dan mendoakan kemenangan buat rakyat Palestin yang sedang dizalimi,” tegasnya.
Pada masa yang sama, beliau turut menzahirkan harapan supaya segala usaha yang dilaksanakan menjadi asbab kepada kebebasan dan keamanan yang hakiki buat bumi Gaza.
Terdahulu, Sheikh Dr. Ali Muhyiddin Ali al-Qaradaghi selaku Presiden Kesatuan Ulama Sedunia dalam suatu hantaran di laman Facebook beliau memaklumkan bahawa Jawatankuasa Ijtihad dan Fatwa, Kesatuan Ulama Islam Sedunia telah mengeluarkan fatwa berkaitan dengan pencabulan gencatan senjata di Gaza pada 28 Mac yang lalu.
Dalam hantaran tersebut, terdapat beberapa kandungan yang penting dalam fatwa tersebut untuk diambil perhatian oleh umat Islam, antaranya termasuklah gesaan menyalurkan bantuan ketenteraan, kewangan, politik dan hak asasi kepada perjuangan rakyat Palestin merupakan kewajipan syarak.