Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKangar – Sempena Sambutan Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang ke-25 tahun, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM), Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru tingkatkan aspek kebersihan dan keceriaan di seluruh negeri Perlis.
Pesanan ini penting khususnya dalam menyambut kehadiran para tetamu luar yang akan hadir sempena sambutan bersejarah tersebut pada 17 April 2025, di samping menjadi lambang kegembiraan dan penghargaan rakyat terhadap pemerintahan Tuanku Raja Perlis yang telah menjangkau 25 tahun.
Titah berkenaan dizahirkan oleh baginda dalam Program Hijrah Minda Bilangan ke-10 Tahun 2025 anjuran Majlis Agama Islam dan Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Masjid Al-Rashid, Kubang Perun.

Keberangkatan baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor. Turut sama berangkat ialah anakanda baginda, Yang Amat Mulia (YAM) Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Selaku Yang DiPertua MAIPs, baginda berkenan berangkat menyempurnakan program tersebut dan turut menzahirkan rasa sukacita melihat peningkatan ketara dalam keindahan dan penjagaan rapi masjid tersebut yang bukan sahaja menjadi pusat ibadah, malah simbol kesejahteraan komuniti setempat.
Dalam program tersebut, MAIPs turut menyampaikan sumbangan wakaf tunai bagi tujuan penyelenggaraan dan pemeliharaan masjid berkenaan, hasil sumbangan seorang pewakaf budiman, iaitu Abdullah Mahamad.
Sumbangan ini diharap dapat menyokong usaha mengekalkan keselesaan dan keindahan rumah ibadah yang juga menjadi mercu tanda kepada kemakmuran dan keharmonian rakyat negeri Perlis.
