Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 5 April 2025, 08:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Shah Alam – Sultan Selangor, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menitahkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bersama-sama dengan agensi di bawahnya menyalurkan bantuan kepada pelajar semua peringkat persekolahan yang terjejas akibat tragedi kebakaran paip gas di Putra Heights.

Pengerusi MAIS, YBhg. Senator Dato’ Setia Haji Salehuddin Saidin memaklumkan bahawa Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) akan mengenal pasti jumlah pelajar yang terjejas bagi tujuan penyaluran bantuan yang merangkumi pakaian seragam, alat tulis, buku, peralatan sekolah dan keperluan lain yang diperlukan oleh mereka.

“Bantuan ini diberikan untuk memastikan pelajar ini tidak perlu menangguhkan persekolahan mereka dan boleh meneruskan sesi persekolahan seperti biasa,” katanya dalam suatu kenyataannya pada hari ini.

Selain itu, beliau berkata YIDE akan bekerjasama dengan kerajaan negeri Selangor bagi menyelaraskan bantuan pengangkutan untuk tujuan pergi dan balik sekolah kepada mereka sepanjang tempoh yang diperlukan untuk tujuan pemulihan tragedi ini.

Tambah beliau lagi, bantuan YIDE akan turut diberikan kepada mangsa pelajar yang bukan beragama Islam walaupun penubuhannya oleh MAIS sebagai sebuah institusi kebajikan untuk menyantuni anak yatim beragama Islam dan menyalurkan bantuan akibat bencana di negeri Selangor.

Bagi tujuan ini, DYMM Sultan Selangor menitahkan agar Tabung Infak Jariah Umat Islam Selangor (TIJARI) digunakan untuk memberikan bantuan kewangan kepada YIDE bagi membolehkan YIDE menyalurkan bantuan kepada pelajar berkenaan.

Beliau turut mengulas lanjut bahawa baginda menitahkan agar pihak pengurusan masjid dan surau, terutamanya yang berdekatan dengan lokasi tragedi tersebut bersedia untuk digunakan sebagai Pusat Penempatan Sementara (PPS) kepada mangsa yang terlibat.

MAIS akan bertanggungjawab untuk memperuntukkan bantuan kewangan melalui sumber baitulmal sama ada wakaf atau sumber am untuk digunakan bagi tujuan pemulihan masjid dan surau yang mengalami kerosakan akibat tragedi ini jika ada, termasuk perbelanjaan untuk menyelenggarakan serta memulihkan masjid dan surau yang mengalami kerosakan selepas digunakan sebagai PPS.

Pada masa yang sama, baginda turut menitahkan agar kegiatan solat fardu berjemaah hendaklah diteruskan seperti biasa serta tidak ditangguhkan sepanjang masjid dan surau tersebut digunakan sebagai PPS.

“Bagi menyantuni mangsa tragedi, DYMM Sultan Selangor juga menitahkan Lembaga Zakat Selangor untuk mengenal pasti jumlah mereka yang mengalami kemusnahan dan kerosakan harta benda bagi tujuan menyalurkan bantuan zakat yang bersesuaian kepada mangsa yang terjejas,” ujarnya.

Dengan bantuan yang diberikan oleh MAIS dan agensi di bawah MAIS selaras dengan titah DYMM Sultan Selangor, diharapkan dapat membantu meringankan tekanan dan kesulitan yang dihadapi oleh mangsa terlibat.

Sebelum itu, Salehuddin bersama-sama dengan Timbalan Pengerusi MAIS merangkap Pengerusi YIDE, Ketua Polis Negeri Selangor serta EXCO Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Negeri Selangor menghadap Sultan Selangor pagi semalam.

Jelas beliau, pertemuan tersebut bagi membincangkan hal berkaitan dengan bantuan bagi pemulihan mangsa tragedi letupan paip gas di Putra Heights pada Selasa lalu.

Dalam pertemuan tersebut juga, DYMM Sultan Selangor turut menzahirkan rasa sedih dan dukacita akan tragedi yang berlaku serta mengharapkan agar mangsa dan keluarga menghadapi ujian Allah SWT dengan penuh kesabaran.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi