Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 25 Mac 2025, 16:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dalam usaha melipatgandakan ibadat dan mengimarahkan bulan Ramadan, karyawan DBP tidak melepaskan peluang untuk mengambil bahagian dalam Majlis Khatam al-Quran 1446H Peringkat DBP yang berlangsung di Surau al-Hukama’, Aras 5, Menara DBP, pada hari ini.

Pelaksanaan majlis tersebut merupakan susulan berakhirnya program tadarus al-Quran 30 juzuk anjuran Biro Agama Wanita dan Kelas Agama Wanita, Surau al-Hukama’ DBP dengan kerjasama Badan Keluarga DBP.

Sebanyak 87 orang karyawan DBP yang terdiri daripada 25 orang peserta lelaki dan 62 orang peserta wanita turut serta dalam program tersebut yang diadakan sepanjang bulan Ramadan tahun ini.

Ketua Editor Bahagian Majalah, YBrs. Dr. Rosmani Omar yang mewakili Ketua Pengarah DBP ketika menyampaikan ucapannya berkata, penganjuran majlis khatam al-Quran tersebut merupakan satu daripada pengisian program kerohanian pada bulan Ramadan dengan tujuan menanamkan minat dan mendidik jiwa karyawan DBP, untuk sentiasa mencintai dan mendampingi al-Quran.

Ketua Editor Bahagian Majalah, YBrs. Dr. Rosmani Omar (tengah) ketika menyampaikan ucapan beliau dalam Majlis Khatam al-Quran 1446H Peringkat DBP.

Beliau menjelaskan bahawa perkara penting penganjuran majlis berkenaan bukan sekadar untuk meraikan kejayaan menamatkan bacaan al-Quran semata-mata, tetapi juga mesej yang hendak disampaikan dan pengertiannya kepada karyawan DBP.

Penghayatan kepada makna ayat suci al-Quran akan memberi kita inspirasi dan galakan untuk lebih berusaha mendekatkan diri kepada Ilahi dan menguasai segenap bidang ilmu pengetahuan.

“Bagi pihak pengurusan DBP, kami sentiasa menyokong aktiviti dan program anjuran Surau al-Hukama’ yang memberikan manfaat dan impak positif kepada semua karyawan DBP,” ujarnya.

Melalui program tadarus seumpama ini, kecintaan dan minat membaca al-Quran dalam kalangan karyawan DBP dapat dipupuk dan merupakan satu daripada usaha menegakkan syiar Islam dalam kalangan warga DBP secara tidak langsung.

Barisan peserta yang mengambil bahagian dalam program tadarus al-Quran peringkat DBP pada tahun ini.

Sementara itu, Pengerusi Surau al-Hukama’ DBP, YBrs. Tuan Syed Mashor Syed Mustapha dalam ucapannya memaklumkan bahawa sejarah penganjuran program tadarus al-Quran di DBP dalam bulan Ramadan telah bermula sejak tahun 1980-an lagi dan pihak jawatankuasa surau bersedia untuk memberikan sokongan dan dana terhadap sebarang bentuk program keagamaan yang bakal dianjurkan selepas ini.

Pengerusi Surau Al-Hukama’ DBP, YBrs. Tuan Syed Mashor Syed Mustapha ketika menyampaikan ucapan alu-aluannya.

Pada masa yang sama, program tersebut turut disemarakkan dengan pelbagai pengisian kerohanian lain seperti sesi tazkirah yang disampaikan oleh Ustaz Abdul Latiff Samsuddin bertajuk “Andai Ini Ramadan Terakhir”, solat zuhur dan solat hajat secara berjemaah, bacaan tahlil serta doa selamat.

Ustaz Abdul Latiff Samsuddin selaku penyampai tazkirah dengan tajuk “Andai Ini Ramadan Terakhir”.

Penyampaian sagu hati kepada semua peserta yang mengambil bahagian dalam program tadarus al-Quran peringkat DBP pada tahun ini disempurnakan oleh Ketua Editor Bahagian Majalah, YBrs. Dr. Rosmani Omar.

Yang turut hadir memeriahkan majlis tersebut ialah ketua-ketua bahagian, ahli jawatankuasa Surau al-Hukama’ dan karyawan DBP.

Kredit Foto: Hanafi Mohd Yusof
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi