Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 25 Mac 2025, 01:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dalam usaha menyemai rasa keprihatinan dalam bulan Ramadan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Komunikasi Korporat dengan kerjasama jawatankuasa Surau Al-Hukama’ DBP, Badan Keluarga DBP dan PUSPANITA DBP menyantuni 28 orang asnaf dan anak yatim dalam Majlis Berbuka Puasa Dewan Bahasa dan Pustaka 2025.

Program yang berlangsung di Surau Al-Hukama’, Aras 1 Wisma DBP semalam tersebut melibatkan penerima sumbangan yang terdiri daripada 24 orang asnaf karyawan DBP dan komuniti ahli kariah serta 4 orang anak yatim.

Selain itu, pihak Surau Al-Hukama’ DBP turut mengagihkan sumbangan barangan keperluan asas dan wang tunai kepada penerima dalam kalangan asnaf bagi meringankan beban mereka menjelang musim perayaan Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.

Antara asnaf yang menerima sumbangan barangan keperluan asas daripada pihak Surau Al-Hukama’ DBP.

Penyaluran sumbangan kepada anak yatim pula berbentuk cenderahati dan  wang tunai daripada hasil kutipan Tabung Prihatin DBP di bawah seliaan Bahagian Komunikasi Korporat dan Badan Keluarga DBP.

Pengerusi Surau Al-Hukama DBP, YBrs. Tuan Syed Mashor Syed Mustapha ketika ditemu bual oleh wartawan Jendela DBP, beliau menzahirkan kesyukuran atas sambutan yang menggalakkan daripada pengurusan tertinggi dan pesara DBP serta ahli kariah yang hadir dalam program tersebut.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan kerjasama dan tajaan sumbangan untuk menjayakan program yang telah diadakan.

Tujuan kita menganjurkan program majlis berbuka puasa ini adalah untuk mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan karyawan DBP dengan masyarakat awam, di samping peranan penting jawatankuasa surau untuk terus memelihara nama baik DBP.

Saya berharap program seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan dengan lebih baik.

Terdahulu, majlis tersebut turut disemarakkan dengan pengisian wacana ilmu yang disampaikan oleh pendakwah bebas, YBrs. Ustaz Wan Mohd Jeffri Wan Ibrahim berkaitan dengan kelebihan bulan Ramadan.

Dalam sesi perkongsiannya, beliau berkata terdapat lima perkara khusus yang dikurniakan kepada umat Nabi Muhammad SAW pada bulan Ramadan, iaitu Allah SWT memandang hamba-Nya pada malam pertama bulan Ramadan, bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada bau kasturi, Allah SWT memerintahkan syurga untuk berhias dan bersedia menunggu kedatangan hamba-Nya yang berpuasa, para malaikat beristighfar bagi orang berpuasa pada siang dan malam serta Allah SWT mengampunkan dosa hamba-Nya pada akhir malam bulan Ramadan.

Di samping itu, antara pengisian lain yang turut diadakan dalam majlis tersebut ialah solat maghrib, isyak dan tarawih secara berjemaah yang disertai oleh karyawan DBP.

Solat maghrib berjemaah yang disertai oleh karyawan DBP.
Suasana ketika orang ramai menikmati juadah berbuka puasa.

Yang turut hadir dalam program tersebut ialah Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Sasterawan Negara Dato’ Dr. Mohd Anwar Ridhwan; Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), YBrs. Tuan Haji Md. Johari Hasan; Pengerusi Surau Al-Hukama DBP, YBrs. Tuan Syed Mashor Syed Mustapha, karyawan DBP serta ahli kariah Surau Al-Hukama’ DBP.

Kredit Foto: Khairul Azhar
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi