Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangShah Alam – Sebanyak 80 peratus institusi tahfiz persendirian di negeri Selangor dengan jumlah lebih 480 buah sekolah berjaya mengikuti program pemutihan 2.0 di bawah seliaan Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Negeri Selangor (PITAS).
Menurut Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Negeri Selangor, Yang Berhormat (YB) Dr. Mohamad Fahmi Ngah, bilangan sekolah tersebut merupakan sebahagian daripada jumlah keseluruhan, iaitu 606 buah sekolah tahfiz yang telah membuat pendaftaran bagi program pemutihan institusi tahfiz.
Tambah beliau lagi, tujuan pelaksanaan program pemutihan institusi tahfiz adalah untuk memastikan keselamatan prasarana di sekolah tahfiz persendirian terjamin dan mengelakkan sebarang kemalangan yang tidak diingini berlaku, selain pengurusan sumbangan dapat disalurkan dengan cara yang sah.
“Kita minta supaya sekolah tahfiz ini masuk (mendaftar) dan kita akan mengenal pasti jika ada syarat yang mengekangnya daripada diputihkan,” ujarnya ketika menyampaikan ucapan perasmiannya dalam Ijtimak Huffaz Selangor Ke-18 dan Sambutan Jubli Perak 25 Tahun PITAS di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah semalam.
Malah, beliau berkata, sekiranya terdapat sekolah tahfiz tidak mampu mendapat kelulusan operasi akibat tidak memenuhi beberapa syarat, beliau bersedia berbincang dengan Exco PBT untuk melonggarkan syarat tersebut.
Adapun sekolah yang tidak menepati syarat, mereka sendiri ada kesedaran bahawa sekolah tersebut tidak boleh diteruskan sebab bahaya untuk pelajar.
Mereka telah menghentikan operasi dan mencari tapak sekolah yang baharu dan kita sebagai kerajaan negeri juga akan bantu untuk mencari tapak baharu yang lebih baik demi keselesaan pelajar.
“Inilah tujuan kita untuk terus melaksanakan pembaharuan, reformasi dan penambahbaikan pada sekolah tahfiz di negeri Selangor,” jelasnya.
Beliau memaklumkan bahawa fasa kedua selepas pemutihan bakal melibatkan pembangunan model sekolah tahfiz baharu menerusi memorandum persefahaman berkaitan dengan sukatan pelajaran tahfiz di Turkiye yang boleh digunakan di negeri tersebut supaya pelajar tahfiz yang dilahirkan bukan sahaja menjadi agamawan, tetapi sebagai ejen pembangunan ekonomi dan masa depan negeri yang lebih baik.
Beliau turut menzahirkan cadangan supaya sekolah tahfiz di negeri Selangor melaksanakan pembelajaran bahasa Inggeris dan Mandarin kepada para pelajarnya supaya al-Quran boleh menjadi asas kepada inovasi dan pembangunan teknologi.
Di samping itu, beliau menegaskan bahawa pelajar tahfiz ialah aset yang amat berharga dalam usaha mengembangkan syiar Islam di negeri Selangor dengan baik.
Kita perlu memperkukuh ekosistem pendidikan tahfiz dengan memastikan institusi tahfiz mendapat kemudahan sewajarnya, di samping menjalin kerjasama dengan institusi pendidikan tinggi yang lain agar para hufaz dapat melanjutkan pengajian mereka dalam pelbagai bidang selain daripada bidang agama.
“Saya akan cuba perjuangkan kebajikan guru tahfiz dan para pelajar yang harus kita bela melalui sokongan kewangan, latihan dan pembangunan profesionalisme bagi memastikan kualiti pendidikan tahfiz sentiasa terpelihara,” katanya.
Yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengerusi PITAS, YBrs. Dr. Haji Muhammad Hafiz Mohd Haneefa; Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), YBrs. Dr. Haji Ahmad Shahir Makhtar; Imam Besar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz, YBhg. Dato’ Ustaz Muhammad Farhan Wijaya dan YM Tengku Seri Andika Diraja Tengku Dato’ Iskandar Shah Tengku Ismail Shah Alhaj, Anggota Jawatankuasa Pembangunan Pendidikan Islam dan Tahfiz, MAIS.