Muhammad Haziq bin Noor Affandi .
Diterbitkan pada 21 Mac 2025, 14:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Sempena bulan Ramadan yang penuh keberkatan, Lembaga Hasil Dalam  Negeri (HASiL) menganjurkan Program Pembudayaan al-Quran dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Islam LHDNM (PERKIS) serta rakan strategik utama, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) yang berlangsung di Masjid Damansara Perdana, Jalan PJU 8/8, Petaling Jaya, semalam.

Program Quran Hour pada kali ini bertemakan “Saving the Ummah”, iaitu memperkukuh penghayatan al-Quran dalam kalangan warga kerja HASiL.

Menerusi program ini juga dapat mendalami, memahami dan mengamalkan isi kandungan al-Quran dalam kehidupan seharian termasuklah ketika menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai penjawat awam.

Dalam program ini, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan), YBrs. Encik Khairul Halimin Abdul Halim dalam ucapannya menyeru supaya semua warga kerja HASiL melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan amanah dan berintegriti agar kesannya dapat dirasai bukan sahaja pada peringkat organisasi, malah kepada seluruh lapisan masyarakat di luar sana.

Tambah beliau, bertepatan dengan pemilihan Surah al-Saf sebagai Tadabur al-Quran, beliau menekankan kepentingan kesatuan dan sentiasa berusaha untuk bersatu,kepimpinan yang berpegang teguh pada kebenaran, komitmen kepada amanah serta peranan dalam menyampaikan mesej kebenaran kepada masyarakat seterusnya membentuk budaya kerja HASiL yang lebih berintegriti dan cemerlang.

Bagi menyerikan program ini, pelbagai aktiviti menarik dijalankan termasuklah Majlis Khatam a ohhl-Quran, Bicara Ramadan, solat zohor berjemaah serta penyediaan dan edaran bubur lambuk secara gotong-royong.

Aktiviti ini bukan sahaja dapat mengukuhkan ukhuwah sesama peserta malah turut membuka peluang untuk memperbaik diri, mensyukuri nikmat, mengukuhkan jati diri, serta mempertingkat amalan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan),YBrs. Encik Khairul Halimin Abdul Halim menyampaikan bubur lambuk kepada warga kerja HASiL di Masjid Damansara Perdana, semalam.

Oleh itu, HASiL berharap agar program Quran Hour ini dapat membawa keberkatan dan menjadi madrasah tarbiah  selari dengan World Quran Hour yang menggalakkan keterlibatan umat Islam di seluruh dunia dalam usaha memartabatkan al-Quran sebagai sumber utama kehidupan.

Turut hadir dalam majlis ini termasuklah  Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi Percukaian), YBrs. Encik Shaharrudy Othman, Pengurusan Kanan, tetamu jemputan serta warga kerja HASiL di sekitar Lembah Klang.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi