Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 21 Mac 2025, 14:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) bagi tahun 2024 menyaksikan sebanyak 22 351 orang pelajar berjaya memperoleh gred 9A dengan kadar 9.4 peratus daripada jumlah keseluruhan bilangan calon yang mengambil peperiksaan berkenaan.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat (YB) Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar, keputusan peperiksaan tersebut diikuti oleh 19 007 orang pelajar yang meraih 8A (8.0 peratus), 7A sebanyak 17 287 orang (7.3 peratus) dan 6A sebanyak 16 990 orang (7.1 peratus).

Sementara itu, murid yang meraih keputusan 5A sebanyak 17 516 orang (7.4 peratus), 4A sebanyak 20 372 orang (8.6 peratus), 3A sebanyak 37 056 orang (15.6 peratus), 2A sebanyak 35 495 orang (14.9 peratus) dan 1A sebanyak 23 970 orang (10.1 peratus).

“Gred Purata Skor (GPS) UPKK tahun 2024 ialah 1.85 mata berdasarkan laporan analisis keputusan UPKK tahun 2024 berbanding dengan 1.89 mata pada tahun 2023,” katanya dalam Majlis Pengumuman Keputusan UPKK bagi Tahun 2024 di Kompleks Islam Putrajaya, semalam.

Selain itu, beliau memaklumkan bahawa peratus calon lulus bagi mata pelajaran Al-Quran ialah sebanyak 99.54 peratus, Akidah (94.81 peratus), Sirah (85.76 peratus), Adab (88.32 peratus), Jawi dan Khat (86.73 peratus), Bahasa Arab (83.03 peratus), Ibadah (89.55 peratus), Penghayatan Cara Hidup Islam (99.94 peratus) dan Amali Solat (99.96 peratus).

Sebanyak 240 244 orang calon telah mendaftarkan diri bagi menduduki peperiksaan UPKK tahun 2024 bertempat di 6176 buah pusat pemeriksaan.

“Jumlah (keseluruhan) calon menunjukkan pertambahan sebanyak 2.77 peratus, iaitu 6468 orang calon berbanding dengan 233 776 orang pada tahun 2023,” jelasnya lagi.

Sebanyak 236 986 orang calon telah hadir untuk menduduki UPKK tahun lalu berbanding dengan 230 857 orang semasa UPKK tahun 2023, seterusnya menunjukkan pertambahan kadar kehadiran pelajar sebanyak 2.5 peratus, iaitu sebanyak 6129 orang.

3257 orang calon tidak hadir bagi tahun UPKK tahun 2024 berbanding dengan 4721 orang calon semasa UPKK tahun 2023.

Jumlah ketidakhadiran calon menunjukkan penurunan sebanyak 31.0 peratus bersamaan dengan 1464 orang calon berbanding dengan UPKK pada tahun 2023.

Ujar beliau, peperiksaan UPKK tahun 2024 telah melibatkan sebanyak 13 923 orang petugas peperiksaan dan 4284 orang pemeriksa skrip jawapan peperiksaan bagi semua mata pelajaran.

Sementara itu, pelajar yang menduduki peperiksaan UPKK tahun 2024 boleh menyemak keputusan peperiksaan tersebut melalui laman sesawang https://semakan.islam.gov.my/ dengan menggunakan nombor MyKID dan angka giliran calon.

Paparan keputusan peperiksaan dalam laman sesawang berbentuk rumusan keputusan secara umum dan slip keputusan penuh boleh diperoleh di sekolah masing-masing pada 21 Mac 2025.

UPKK merupakan peperiksaan yang dilaksanakan pada pelajar tahun lima bagi mengukur tahap pencapaian mereka setelah mengikuti pembelajaran KAFA berdasarkan kurikulum yang ditetapkan oleh JAKIM.

Yang turut hadir dalam majlis pengumuman keputusan peperiksaan tersebut ialah Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM, YBrs. Dr. Mohamad Kori Jusoh; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), YBhg. Kolonel Datuk Haji Mohd Ajib Ismail dan Pengarah Bahagian Pendidikan JAKIM, YBhg. Datin Norliah Sajuri.

Kredit Foto: Facebook - Dato' Setia Dr. Naim
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi