Diterbitkan pada 19 Mac 2025, 16:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya –  Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan melaksanakan solat hajat di tiga buah masjid utama JAKIM, iaitu Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin pada setiap malam selepas solat fardu Isyak bermula pada malam ini hingga akhir Ramadan.

Solat hajat tersebut bertujuan untuk mendoakan rakyat Palestin berikutan tindakan pengkhianatan perjanjian gencatan senjata terhadap mereka oleh rejim Zionis yang terus-menerus menyerang dan mengorbankan nyawa.

Menurut Ketua Pengarah JAKIM, YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee, hanya doa yang dipanjatkan kepada Allah SWT, tambahan pula pada bulan Ramadan yang mulia, agar rakyat Palestin diberikan keselamatan dan kemenangan daripada terus dizalimi dan ditindas tanpa belas kasihan,

“Sebagai tanda solidariti dan doa buat saudara-saudara marilah kita bermunajat kepada Allah SWT untuk rakyat Palestin,” ujar beliau dalam kenyataan, hari ini.

Tragedi berdarah kembali di bumi Palestin telah mengorbankan sebanyak 404 nyawa yang tidak berdosa termasuklah wanita dan kanak-kanak, manakala 562 orang lagi cedera dalam serangan udara Israel di Semenanjung Gaza.

Oleh itu, JAKIM menyeru kepada semua rakyat Malaysia agar berterusan memanjatkan doa ke hadrat Allah SWT dengan penuh pengharapan, semoga Allah SWT sentiasa merahmati seluruh umat Islam di dunia khususnya di Palestin.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi