Diterbitkan pada 16 Mac 2025, 19:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menyalurkan Bantuan Fitrah berjumlah RM6,132,500 kepada seramai 12,265 orang penerima dari seluruh negeri Perlis.

Bantuan ini mencerminkan keprihatinan MAIPs dalam memastikan kebajikan asnaf terus terpelihara khususnya dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan.

Majlis penyerahan simbolik bantuan tersebut disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Yang Dipertua MAIPs kepada Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), YBrs. Puan Maizura Shamsuddin dalam Majlis Iftar Jamaie Ahli Majlis dan Jawatankuasa di bawah MAIPs yang berlangsung di ibu negara pada Jumaat malam.

Yang turut berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berserta anakanda baginda berdua, Yang Amat Mulia (YAM) Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail selaku Ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Pengukuhan Inisiatif MAIPs dan YAM Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail sebagai Ahli Jawatankuasa Pengurusan Zakat MAIPs.

Majlis dimulakan dengan penyampaian watikah pelantikan kepada Ahli Majlis dan sebahagian Ahli Jawatankuasa MAIPs yang baru dilantik.

DYTM Tuanku Raja Muda menzahirkan penghargaan kepada semua Ahli Majlis dan Ahli Jawatankuasa MAIPs atas komitmen yang dicurahkan dengan tulus ikhlas dalam merangka inisiatif berimpak tinggi demi kepentingan ummah.

Ahli Majlis dan Ahli Jawatankuasa MAIPs yang hadir dalam majlis tersebut.

Terdahulu, perbincangan khusus mengenai Cadangan Hala Tuju MAIPs 2026–2030 diadakan yang menumpukan perhatian kepada usaha memperkasakan kebajikan, pembangunan ummah serta pelaksanaan dasar yang lebih mampan dan inklusif dalam pentadbiran Islam di Perlis.

Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor turut membentangkan Prestasi MAIPs bagi Tahun 2024 diikuti sesi pembentangan hala tuju strategik melewati tahun 2030 oleh wakil Jawatankuasa di bawah MAIPs.

Kredit Foto: Ihsan MAIPs
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi