Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKelantan – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) buat julung-julung kalinya mengadakan Majlis Iftar dan Apresiasi Pembayar Zakat Bersama Tengku Temenggong Kelantan yang juga merupakan Yang Dipertua MAIK, Yang Berhormat Mulia Tengku Tan Sri Dato’ Haji Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz.
Majlis yang diadakan pada 9 Mac lalu di Hotel Perdana Kota Bharu tersebut sebagai tanda terima kasih MAIK khusus kepada pembayar zakat atas harta yang diinfakkan kepada MAIK sehingga berjaya mencatatkan kutipan zakat sebanyak RM296 juta.
Yang Berhormat Mulia Tengku Tan Sri Dato’ Haji Mohamad Rizam dalam ucapannya menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pembayar zakat yang melunaskan tanggungjawab berzakat bersama-sama MAIK.
Kami mendoakan para pembayar zakat MAIK dikurniakan kesihatan yang baik, rezeki yang melimpah ruah, perniagaan yang bertambah keuntungan, dan harta yang berkat serta dipermudahkan Allah SWT untuk terus membayar zakat pada tahun ini dengan jumlah lebih tinggi sekali gus dapat membantu lebih banyak asnaf khususnya di Kelantan.

Majlis Iftar dan Apresiasi Pembayar Zakat Bersama Tengku Temenggong Kelantan dihadiri oleh 100 orang pembayar zakat yang menetap di sekitar Kota Bharu yang menginfakkan zakat berjumlah RM100 ribu ke atas.
Pembayar zakat tersebut berpeluang menyampaikan sendiri Bantuan Hari Raya berbentuk wang tunai dan bakul makanan kepada 30 orang asnaf terpilih di sekitar Kota Bharu yang bersama-sama meraikan majlis berbuka puasa di hotel tersebut.
Majlis ini turut dihadiri oleh Mufti Kerajaan Negeri Kelantan, Sahibus Samahah Dato’ Kaya Perba Dato’ Haji Mohamad Shukri Mohamad; Ketua Hakim Syarie Negeri Kelantan, Yang Amat Arif Dato’ Haji Ibrahim Deris dan Timbalan Yang Dipertua MAIK, Yang Amat Berbahagia, Dato’ Haji Mohd Anis Hussein.