Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. (MKLSB) dengan kerjasama Hop On Hop Off meraikan awal Ramadan 1446 Hijrah dengan Majlis Berbuka Puasa Bersama-sama Pelajar Maahad Tahfiz Bustanul Quran (MTBQ) di Menara Kuala Lumpur (MKL), semalam.
Dalam majlis tersebut, pengurusan MKLSB memberikan sumbangan bagi pembangunan dan pendidikan MTBQ dan duit raya kepada para pelajarnya.
Ramadan ialah bulan yang penuh dengan keberkatan dan kasih sayang
“Majlis ini bukan sekadar sebuah acara berbuka puasa, tetapi satu usaha untuk mendekatkan syarikat dengan masyarakat,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif MKLSB, YBrs. Encik Nazli Saad, dalam ucapannya.
Tambah beliau, warga MKLSB amat berbesar hati untuk berkongsi rezeki dengan pelajar MTBQ, serta memberikan mereka pengalaman yang berbeza di MKL.
“Kami berharap sumbangan ini sedikit banyak dapat membantu mereka dalam perjalanan menuntut ilmu, dan memberikan keceriaan menjelang Syawal nanti,” kata Encik Nazli lagi.

Majlis yang turut disertai oleh kakitangan MKLSB serta jemputan khas bersempena dengan kehadiran bulan Ramadan ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara warga kerja serta rakan strategik sambil menyemarakkan semangat kebersamaan dalam bulan Ramadan.
Bagi menceriakan pengalaman para pelajar MTBQ, mereka telah dibawa melawat ke beberapa tarikan utama MKL, termasuklah Dek Angkasa (Sky Deck), Kotak Angkasa (Sky Box) dan Dek Pemerhatian (Observation Deck).
Majlis tersebut turut diisi dengan bacaan doa selamat dan laungan azan daripada pelajar MTBQ, sebelum menikmati juadah berbuka puasa yang disediakan di TEMU Rasmi, yang merupakan juadah iftar “Dari Dapur TEMU” yang bermula dari 5 Mac hingga 28 Mac 2025.