Diterbitkan pada 5 Mac 2025, 08:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengingatkan semua pihak bahawa setiap agama perlu dihormati dan tidak boleh dijadikan bahan ejekan atau persendaan dalam apa-apa juga bentuk sama ada secara lisan, tulisan dan perbuatan mahupun dalam platform media sosial.

Ketua Pengarah JAKIM, Yang Berbahagia (YBhg.) Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, semua pihak perlu  menjaga sensitiviti keagamaan dalam setiap tindakan dan pertuturan, mengelakkan diri daripada membuat sebarang kenyataan atau perlakuan yang boleh menyinggung kepercayaan agama lain, serta menghormati kebebasan beragama sebagaimana yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Menurut beliau, sikap memperlekehkan atau mempersendakan amalan keagamaan pihak lain bukan sahaja bertentangan dengan ajaran agama Islam, malah boleh mencetuskan ketegangan dan merosakkan keharmonian masyarakat.

Beliau berkata, “Islam sebagai sebuah agama yang menyuburkan kesejahteraan dan keharmonian telah mengajar kita melalui firman Allah dalam Surah al-An’am, ayat 108 yang bermaksud,

Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain daripada Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan.

Demikianlah Kami memperelokkan pada pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu ia menerangkan kepada mereka apa-apa yang telah dilakukan oleh mereka.

Oleh itu, JAKIM menyeru agar semua pihak sentiasa mengamalkan sikap saling memahami dan bertoleransi.

“Prinsip Islam sebagai rahmat untuk semua harus dijadikan panduan bagi memastikan keamanan dan perpaduan terus terpelihara di negara ini” tegas beliau.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi