Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa Malaysia bakal memberikan bantuan khusus kepada institusi pendidikan dan kesihatan di Baitulmuqaddis.
Menurut beliau, bantuan tersebut diberikan dalam bentuk instrumen wakaf kepada Universiti Aa-Quds dan madrasah di sekitarnya, selain hospital yang berpangkalan di kota suci ketiga berkenaan.
Saya telah berbincang bersama-sama Yang Berhormat (YB) Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na‘im Haji Mokhtar dan rakan kabinet yang lain supaya selain daripada bantuan khusus bagi pemulihan Gaza, kita juga akan menyediakan bantuan wakaf untuk Universiti al-Quds, madrasah dan hospital di Baitulmuqaddis.
“Saya berharap dengan usaha ini, kita dapat meningkatkan sokongan kita dan meringankan beban mereka kerana terdapat sebuah universiti, namanya Jami‘ah al-Quds di Baitulmuqaddis, tetapi operasinya masih memerlukan bantuan umat,” jelasnya.
“Kita luncurkan pada malam ini dan pihak kerajaan, insya-Allah akan terus memberikan ruang dan bantuan supaya universiti itu dapat berdiri teguh,” katanya lagi ketika berucap dalam Majlis Ilmu MADANI di Masjid Putra pada Isnin lalu.
Selain itu, beliau meminta pihak universiti berkenaan berbincang dengan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, universiti tempatan dan sekolah untuk mengadakan jalinan hubungan bagi memperkukuh kegiatan universiti tersebut.
“Bantuan kemanusiaan perlu kita teruskan dan Sheikh Dr. Ekrima Sa’id Sabri memohon supaya kita membantu kemajuan di Baitulmaqdis juga,” ujarnya.
Saya memohon kerjasama rakyat untuk meneruskan agenda, menunjukkan ihsan dan tanggungjawab kita dalam usaha meringankan beban mereka sama ada di Gaza ataupun Baitulmuqaddis.
Di samping itu, beliau turut menyentuh bahawa kehadiran Sheikh Dr. Ekrima Sa‘id Sabri sebagai seorang yang masyhur dengan kealimannya dalam Majlis Ilmu MADANI merupakan sebuah penghormatan yang besar buat negara.
Mudah-mudahan perkara ini mengingatkan kita bahawa tanpa kekuatan dalaman, kita di Malaysia yang mempunyai potensi dan keupayaan, kita tidak boleh mampu untuk membantu sesiapa.
Sementara itu, imam masjid suci ketiga itu turut menyampaikan tausiyah kepada para hadirin berkaitan dengan keistimewaan kiblat pertama umat Islam menerusi mukjizat Israk dan Mikraj, ganjaran bersolat di Masjidilaqsa dan sejarah pembukaan kota Baitulmuqaddis di bawah kepimpinan Umar al-Khattab, selain menghargai usaha Malaysia membantu rakyat Palestin selama ini.
Yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli Hasan; Ketua Polis Negara, YBhg. Tan Sri Razarudin Husain; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee; dan Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah YBhg. Datuk Profesor Madya Dr. Luqman Haji Abdullah.