Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kira-kira 300 orang ahli Alumni Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kebangsaan menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-11 pada tahun ini menerusi majlis tahlil dan doa selamat.
Penganjuran program oleh Alumni GPMS Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Masjid Negara, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Persatuan Kor Wanita Kota Kuala Lumpur tersebut telah dirasmikan oleh Setiausaha Politik Yang Amat Berhormat (YAB) Perdana Menteri, YBhg. Datuk Azman Abidin di Bilik Syarahan Utama, Masjid Negara, pada Sabtu lalu.
Beliau dalam ucapannya memaklumkan bahawa pihaknya sentiasa menyokong usaha semua pihak termasuklah aktiviti oleh pertubuhan bukan kerajaan.
Menurut YBhg. Datuk Azman Abidin,
Saya melihat Alumni GPMS sebagai gerakan yang cukup berpengaruh dan sentiasa diteladani oleh kumpulan pendidik termasuk langkahnya yang dilihat kekal relevan dari segi pendidikan dan kebajikan para alumninya.

Jelas beliau, terdapat pelbagai bantuan daripada pihak kerajaan seperti geran kerajaan di bawah Jabatan Perdana Menteri, Geran Kementerian Pendidikan Malaysia, Geran Kementerian Perpaduan Negara dan Geran Jabatan Kebajikan Masyarakat.
“Untuk peningkatan tenaga mahir, pihak alumni boleh memohon dana sokongan Kementerian Sumber Manusia, dana Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Tabung Pembangunan Usahawan, geran khidmat masyarakat peringkat negeri serta geran yayasan dan badan korporat,” ujarnya.
Menurut beliau lagi, kesemua perkara tersebut mencerminkan sokongan dan komitmen Perdana Menteri dalam usaha menggalakkan pelibatan dan sumbangan daripada Alumni GPMS untuk memperkukuh institusi pendidikan, selain menyokong pelajar yang memerlukan.
Di samping itu, beliau turut menyeru kepada semua Alumni GPMS agar terus berganding bahu memperkukuh peranan penubuhannya.
Terdahulu, Presiden Alumni GPMS Kebangsaan, YBhg. Dato’ Syed Anuar Syed Mohamad berkata, majlis berkenaan melibatkan penyerahan bantuan kepada sebanyak 120 orang warga emas, asnaf, orang kurang upaya dan pejuang pendidikan yang memerlukan sebagai sebahagian usaha kebajikan oleh pihaknya.
Sumbangan tersebut diperoleh menerusi kerjasama strategik dengan Yayasan Wilayah Persekutuan.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen Alumni GPMS dalam usaha memperkukuh nilai kebajikan dan keprihatinan kepada masyarakat.

Antara tujuan penganjurannya termasuklah memohon rahmat Allah SWT dan kesejahteraan ahli Alumni GPMS sepanjang tahun ini, mengeratkan silaturahim antara ahlinya dari seluruh negara serta sebagai tanda penghormatan kepada pemimpin Melayu-Islam yang berjuang demi agama, bangsa dan negara.
Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif, Yayasan Wilayah Persekutuan, YBrs. Dr. Abdul Basir V. Kunhimohamed; Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, YBhg. Datuk Mohd. Nizam Yahya; Naib Presiden 1 Alumni GPMS Kebangsaan, YBhg. Dato’ Sri Ir. Dr. Rashid Maiden; Naib Presiden 2 Alumni GPMS Kebangsaan, YBhg. Dato’ Seri Dr. Irmohizam Ibrahim dan Penolong Pengarah Kanan DBKL, YBrs. Encik Muhammad Hasif Hussin.