Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPulau Pinang – Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Wakaf Pulau Pinang Sdn. Bhd. (WPPSB) dan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) melalui anak syarikatnya, PERDA Ventures Incorporated Sdn. Bhd. (PVISB) telah mengadakan Majlis Menandatangani Perjanjian Pembangunan Bersama bagi projek pembangunan di atas tanah wakaf di Lot 60, Mukim 11, Bayan Lepas, Daerah Barat Daya, Pulau Pinang.
Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi turut hadir menyaksikan majlis menandatangani perjanjian itu yang berlangsung di Hotel Bahang Bay, Teluk Bahang, Pulau Pinang semalam.
Melalui perjanjian kerjasama itu, PVISB akan membangunkan tanah wakaf milik MAINPP seluas 2.85 ekar di Bayan Lepas. Projek tersebut merangkumi pembinaan dua blok rumah mampu milik setinggi 21 tingkat dengan 510 unit berkeluasan 900 kaki persegi setiap satu, serta 12 unit kedai komersial tiga tingkat yang berkeluasan 3120 kaki persegi. Projek pembangunan berimpak tinggi ini keseluruhannya bernilai RM170.1 juta.
Tanah wakaf tersebut merupakan pemberian dermawan, Allahyarham Haji Puteh Masseh setelah diwakafkan pada 9 Oktober 1948. Tanah tersebut telah didaftarkan kepada MAINPP pada 20 Mei 1994 dan kekal sebagai aset wakaf untuk manfaat umat Islam.
Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan Pengerusi Lembaga Pengarah WPPSB, YB Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid menerusi ucapannya berkata, MAINPP telah mengambil langkah strategik untuk menjalinkan usaha sama dengan pelbagai syarikat termasuklah pemaju swasta dan agensi kerajaan.
Tambah beliau, sejak bermulanya kerjasama dengan UDA Holdings, MAINPP sentiasa membuka ruang kepada pemaju yang berkaliber untuk bersama-sama membangunkan tanah wakaf berpotensi di Pulau Pinang.
“Golongan utama yang disasarkan mendapat manfaat melalui projek-projek ini ialah umat Islam berpendapatan sederhana dan rendah, terutamanya golongan muda yang berdepan kesukaran memiliki hartanah dalam menjayakan wakaf yang barakah dan menjanakan ekonomi ummah.”
Menurut beliau lagi, sasaran tersebut selaras dengan komitmen MAINPP untuk memperkukuh pemilikan hartanah bumiputera di Pulau Pinang, di bawah Teras Pembangunan Sosioekonomi dalam Agenda Pembangunan Agama Islam Negeri Pulau Pinang (APAI) 2030.
Sementara itu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid pula berkata, pihaknya akan memperkasakan agensi di bawah KKDW seperti Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPPKOA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) sebagai ejen kerajaan pada peringkat akar umbi.
“Ketua Setiausaha KKDW, YBhg. Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar dan Pengerusi PERDA, YBhg. Datuk Wira Ir. Dr. Shaik Hussein Mydin akan melihat pelbagai perubahan bakal dinikmati oleh umat Islam di negeri Pulau Pinang.”
Turut hadir di majlis tersebut ialah Setiausaha MAINPP, Ybhg Dato Haji Rosidi Hussain; Ketua Pegawai Eksekutif Wakaf Pulau Pinang Sdn. Bhd. Tuan Abdul Mohsein Mohd Shariff; Pengurus Besar PERDA, YBhg. Datuk Haji Mohd Asri Baharum; Ketua Pegawai Eksekutif PVISB, Encik Noorkhaizan Mohd Noor; Pengerusi Lembaga Pengarah PVISB, YBhg. Dato’ Jeffri Salim dan Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Abd Aziz Tajuddin.