Diterbitkan pada 5 Disember 2025, 13:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Maksiat dari sudut bahasa bermaksud pelanggaran, penderhakaan, tindakan menyalahi perintah atau penentangan. Menurut istilah syarak pula, maksiat ialah segala perbuatan dan tingkah laku yang melanggar perintah Allah SWT dan rasul-Nya, sama ada secara zahir atau batin. Islam merupakan agama yang menekankan kepentingan memelihara maruah manusia. Allah SWT melarang keras sebarang bentuk tindakan yang mencemarkan kesucian maruah dan keturunan. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan janganlah kamu mendekati zina. Sesungguhnya zina itu suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk (yang membawa kerosakan).”

(Surah al-Isra’ 17:32)

Menurut Ibn Kathir, ayat ini menunjukkan bahawa Allah SWT melarang perbuatan zina dan menegah semua perkara yang boleh membawa seseorang mendekati zina seperti berkhalwat, pergaulan bebas dan pakaian mencolok mata.

Negeri Perak Darul Ridzuan mempunyai undang-undang bagi mencegah dan menangani maksiat berkaitan dengan maruah. Enakmen Jenayah (Syariah) 1992 memperuntukkan beberapa kesalahan, termasuklah perbuatan tidak sopan, khalwat, persetubuhan haram, bersekedudukan, pelacuran, hamil luar nikah, mendedahkan tubuh di tempat awam serta apa-apa perbuatan yang menggalakkan maksiat. Sekiranya seseorang disabitkan kesalahan sedemikian, hukumannya boleh dikenakan denda sehingga RM5,000.00, atau penjara sehingga tiga tahun, dan juga sebatan.

Peruntukan undang-undang ini bukan bertujuan menghukum semata-mata, tetapi sebagai usaha pencegahan demi memelihara maqasid syariah, iaitu menjaga keturunan (hifz al-nasl) dan menjaga maruah (hifz al-‘ird).

Perbuatan maksiat biasanya bermula daripada perkara kecil seperti pandangan mata, gurauan, bersentuhan, bermesej, berdua-duaan dan penggunaan media sosial tanpa kawalan. Apabila pintu maksiat dibuka, syaitan akan mengambil peluang sehingga seseorang terjerumus melakukan dosa besar. Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Ketahuilah, jangan sekali-kali seorang lelaki bersunyi dengan seorang perempuan (yang bukan mahram), melainkan syaitan akan menjadi yang ketiga antara mereka berdua.”

(Hadis riwayat al-Tirmizi, no. 2165)

Fitnah maksiat pada zaman ini semakin lama semakin berat kerana mudah dilakukan. Perbuatan maksiat ketika ini sudah berada pada hujung jari. Aplikasi tidak bermoral, kandungan lucah, hiburan melampau dan budaya bebas meningkatkan gejala maksiat yang membimbangkan. Data terbaharu yang dilaporkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bahawa sebanyak 16 951 orang remaja hamil luar nikah dari tahun 2020 hingga tahun 2024, dan separuh daripadanya Melayu–Islam.

Oleh itu, benteng memelihara diri daripada maksiat ialah iman dan perasaan malu. Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “… dan sifat malu itu merupakan satu cabang daripada iman.”

(Hadis riwayat al-Bukhari, no. 9; riwayat Muslim, no. 35)

Malu merupakan sifat mulia yang memelihara diri daripada melakukan maksiat. Apabila sifat malu hilang dari hati, manusia tidak lagi segan melakukan maksiat, bahkan ada yang mempromosikannya melalui media sosial. Ada individu tanpa rasa takut mempamerkan hubungan bebas, rakaman tidak bermoral, kata-kata lucah, malah berbangga dengan perlakuan maksiat.

Benteng seterusnya ialah rasa takut kepada Allah SWT. Sifat ini dibina melalui ilmu dan kesedaran bahawa Allah SWT Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Takutlah akan hukuman Allah SWT yang bakal menimpa pelaku maksiat. Terlalu banyak peringatan-Nya dalam al-Quran yang boleh menjadi pedoman.

Penguatkuasaan undang-undang juga dapat menjadi benteng bagi mereka yang sentiasa mengutamakan pertimbangan akal sebelum bertindak. Ingatlah! Banyak orang yang terjebak dengan maksiat telah didakwa dan dihukum sehingga hilang pekerjaan, dibuang sekolah atau universiti. Pepatah Melayu menyebut, “Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada guna.”

Fikirlah semasaknya sebelum “membuka langkah” melakukan maksiat. Orang bijak bukan sahaja meninggalkan maksiat, tetapi menjauhi semua jalan yang membawa kepada dosa. Kata hukama (para bijaksana), “Siapa yang menutup pintu maksiat pada awalnya, dia telah menyelamatkan dirinya daripada seribu kesusahan pada akhirnya.”

Keluarga ialah benteng pertama daripada gejala maksiat. Ibu bapa wajib memelihara rumah tangga daripada unsur maksiat. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka… .”

(Surah al-Tahrim 66:6)

Kehebatan sesebuah keluarga terletak pada kasih sayang yang membimbing ahli keluarga ke syurga dan memeliharanya daripada menjadi bahan bakar api neraka. Oleh itu, wahai ibu bapa, jagalah batas pergaulan anak, kawal penggunaan telefon dan Internet, bersungguh-sungguh mendidik mereka dengan akhlak dan ilmu agama supaya kedua-duanya menjadi benteng. Ibu bapa pada hakikatnya menjadi contoh terbaik kepada mereka. Tindakan mencegah dengan pendidikan dan kawalan lebih baik daripada hukuman dan penyesalan.

Sehubungan dengan itu, umat Islam perlu memberikan perhatian terhadap beberapa perkara berikut agar terhindar daripada maksiat dan mampu memelihara maruah diri dan keluarga.

Pertama: Takutlah balasan dan seksaan Allah SWT di dunia dan di akhirat dengan maksiat yang kita lakukan selama ini. Balasan di dunia sudah terasa begitu berat, apatah lagi jika ditimpa azab di akhirat.

Kedua: Jauhi semua perkara yang boleh mendorong kita melakukan maksiat kerana kejahatan ini merosakkan jiwa, menghilangkan berkat dan mencemar agama Islam yang mulia.

Ketiga: Prinsip penegakan amar makruf nahi mungkar hendaklah diteruskan. Kerjasama masyarakat membanteras maksiat amat penting, termasuklah melaporkannya kepada Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Agama Islam Perak.


(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 5 Disember 2025, bertajuk “Jauhi Maksiat, Pelihara Maruah”)

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi