Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Pemerintahan yang mengamalkan sistem sekular tidak semestinya menjadi batas atau sempadan kepada rakyat berbilang kaum dan agama untuk hidup aman dan damai dalam sesebuah negara.
Menjunjung ketamadunan bangsa dengan menghormati masyarakat pelbagai kaum, agama dan budaya bangsa menjadi teras kepada pemupukan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat di mana-mana negeri, negara, termasuk dunia.
Pensyarah Pengajian Islam di Pusat Pengajian Islam Oxford, United Kingdom, YBhg. Dato’ Dr. Afifi al-Akiti membayangkan hal demikian selepas menghadiri majlis Persidangan Belia Kerala 2024, di Thrissur, India, pada akhir tahun lalu.
“Siapa sangka, sekular yang menjadi sistem utama di sini (India) tetapi kita tidak dapat melihat sekularisme dengan cara yang kita lihat di Barat. Amat menakjubkan apabila kita melihat persidangan tersebut dihadiri oleh ribuan orang dari seluruh negara.
“Biasanya, kita akan merasai atau melihat situasi sedemikian pada musim-musim pemilihan pilihan raya. Tapi di sini masya-Allah, sangat harmoni,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menjadi tetamu siri pertama bagi program Conversation with Civilization, yang dikendalikan oleh Pengarah Urusan Markaz Knowledge City, YBrs. Dr. Muhammad Abdul Hakkim Azhari yang disiarkan menerusi saluran YouTube, baru-baru ini.
Markaz Knowledge City terletak di Calicut, Kerala, India, ialah sebuah pusat pembelajaran dan inovasi yang mengiktiraf kepentingan kemajuan di samping menghormati warisan budaya pelbagai kaum, agama dan bangsa.
Pada majlis Persidangan Belia Kerala 2024, Afifi al-Akiti merupakan antara tetamu barisan ulama sedunia yang diberi penghormatan bagi menyampaikan ucapan pada majlis tersebut.
Program Conversation with Civilization,yang menampilkan pemimpin serta ulama dari seluruh dunia itu diadakan bertujuan bagi menghidupkan semula siri dialog berkaitan perkembangan tamadun era modenisasi dalam mendepani cabaran global.
Menyorot sejarah perkembangan Islam di India,beliau berkata, Islam berakar umbi di negara tersebut tanpa sebarang perjuangan yang membawa kepada konflik melibatkan pertumpahan darah antara kaum, agama dan bangsa.
“Mereka tidak pernah berjuang untuk membawa Islam ke sini (India), sama seperti Islam datang ke negara saya di Malaysia,” katanya, yang juga pakar dalam bidang Teologi Islam, Sejarah dan Sains.
Mengulas lanjut beliau berkata, program atau dialog seumpama itu menjadi mekanisme terbaik bagi mempertingkat usaha memupuk persefahaman, perpaduan serta budaya pelbagai bangsa di peringkat global.
Selain itu, tambahnya, hal demikian mampu memberikan kesan positif dalam usaha menyelidik keunikan warisan budaya serta perkembangan tamadun dunia untuk dimanfaatkan kepada umum.