24 Jun 2024, 09:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Islam mudah tersebar ke kawasan Asia Tenggara kerana penyebaran agama ini menggunakan bahasa setempat.

Hasmi Hashim yang lebih dikenali sebagai Budhi Hekayat, dalam satu wacana berkenaan bapa sosiologi Malaysia, Syed Hussein Alatas pada Sabtu lalu berkata, Islam mudah berkembang di Asia Tenggara bukan sahaja disebabkan oleh pendakwah yang ikhlas menyebarkan dakwah.

Kerana apa Islam berkembang di Asia Tenggara? Kerana Islam datang bukan hanya niat untuk berdakwah, tetapi dia betul-betul ikhlas menyebarkan fahamannya.

“Oleh sebab itu, Islam datang tersebar — tak kisahlah di mana-mana wilayah di Asia Tenggara ini — dia (Islam) datang dengan bahasa ibunda masyarakat setempat,” jelasnya.

Hasmi yang juga penulis lirik lagu Awan Nano yang mempunyai maksud tersirat berkenaan sirah Nabi Muhammad SAW itu juga mengaitkan hubungan penyebaran Islam menggunakan bahasa setempat itu dengan dasar perindustrian.

“Dasar perindustrian kita ini ialah dasar yang masih terperangkap dalam pemikiran penjajah.

“Contohnya, kita buka kilang dari luar, dan bahasa yang dibawa bersama industri itu, kata Syed Hussein masih lagi bahasa asing, bukan bahasa peribumi atau bahasa ibunda,” tambah Hasmi.

“Kita hendak belajar buat kereta, suruh orang Jepun ajar kita buat kereta, takkan di syarikat kereta di sini orang Jepun hendak ajar kita dalam bahasa Jepun?” soalnya.

Beliau juga berkata, kejayaan Islam itu jauh lebih maju berbanding dengan mana-mana dasar perindustrian.

“Dalam industrilisasi ini, dasar perindustrian yang menggunakan bahasa luar dan Islamisasi yang menggunakan bahasa lokal, kita sudah lihat kejayaan Islam itu jauh lebih besar daripada mana-mana industri sekalipun yang datang ke Asia Tenggara,” ujarnya.

Pada masa yang sama, Hasmi juga menyarankan agar masyarakat membaca buku-buku karya Syed Hussein Alatas seperti Islam dan Sosialisme.

Menurutnya, “sosialisme” yang diwacanakan oleh Syed Hussein dalam buku tersebut bukan tentang akidah.

“Sosialis itu bukan sosialis ala Karl Marx atau Hegel. Istilah itu telah wujud di Perancis sebelum Karl Marx lahir lagi.

“Apa-apa yang Syed Hussein cuba katakan ialah ada ciri atau roh sosialis itu dalam Islam, bukannya benda yang bertentangan dengan Islam,” jelasnya.

Selain buku Islam dan Sosialisme, Hasmi juga menyarankan buku lain oleh bapa sosiologi Malaysia ini perlu dibahas dan dibaca seperti buku Kita dengan Islam: Tumbuh Tiada Berbuah, Ke mana dengan Islam?, Islam dan Masharakat dan Challenges Facing The Muslim World.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.