4 Jun 2024, 23:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Johor Bharu – China bersedia memeberikan komitmen untuk memasarkan produk halal Malaysia kepada 1.4 bilion penduduk negara berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara tersebut disuarakan dalam lawatan rasmi beliau ke China pada 22 Mei lalu.

Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap merasmikan Program Halal on Track 2024@Johor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada (PERSADA) Johor Bahru, hari ini.

“Kerajaan China melalui syarikat Fortune 500 dan syarikat lain di sana bersedia membantu memasarkan produk halal Malaysia.

“Peluang yang terbuka luas di negara tembok besar itu seharusnya dimanfaatkan usahawan tempatan,” katanya semasa merasmikan Program Halal on Track 2024@Johor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada (PERSADA) Johor Bahru, hari ini.

Tambah beliau, produk halal bukan hanya sesuai dengan penduduk Muslim tetapi kerana ramuan, proses dan kebersihan yang dibuat juga boleh diterima oleh penganut bukan Islam di sana.

Menurut beliau, China menyambut baik Malaysia sebagai peneraju halal antarabangsa.

Katanya lagi, pasaran halal mempunyai potensi yang sangat besar kerana pada tahun 2023 sahaja, dunia memerlukan sebanyak AS$3.0 trilion untuk produk-produk halal dan pada tahun 2030 pula dianggarkan akan meningkat kepada AS$5.0 trilion.

Sementara itu, beliau meminta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memendekkan tempoh memproses pensijilan halal kepada 15 hari berbanding dengan 23 hari, yang berjaya dibuat sebelum ini.

Katanya, perkara tersebut boleh dilakukan susulan kejayaan JAKIM memendekkan tempoh memproses pensijilan halal daripada 30 hari kepada 23 hari pada tahun lalu.

Beliau mengucapkan tahniah kepada JAKIM kerana menyambut cabaran Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang mengarahkan JAKIM memendekkan pengeluaran persijilan halal kepada 30 hari pada dua tahun lalu dan kini berjaya pula memproses sijil halal hanya dalam masa 23 hari kelulusan pada tahun lalu.

“(Perkara) Ini merupakan kejayaan cukup baik dan diharapkan selepas Halal on Track (HOT) ini dilancarkan, diharapkan lebih banyak permohonan sijil halal dapat diluluskan,” katanya.

Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid juga memaklumkan bahawa beliau telah mengarahkan Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk peruntukan sebanyak RM5.0 juta setahun untuk membantu para pemohon persijilan halal mengikuti model bimbingan JAKIM supaya permohonan persijilan halal dapat dikeluarkan dalam tempoh masa yang lebih singkat.

Tambah beliau, jika JAKIM dibantu dengan model bimbingan ini, sudah pasti sijil halal dapat diberikan kelulusan yang lebih singkat berbanding pada masa ini.

Hadir sama dalam program tersebut ialah Menteri Besar Johor, YB Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.