Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Perlis – Bersempena dengan program Hijrah Minda MAIPs Bilangan Ke-15 bagi Tahun 2024, Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berkenan menyempurnakan penyerahan bantuan zakat MAIPs berjumlah RM700.00 setiap seorang kepada 20 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah Kampung Bangsal Lebah.

Baginda diiringi oleh Presiden Persatuan Muhammadiyah Singapura, Ustaz Muhammad Azri Azman ketika menghadiri program yang diadakan di Masjid Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Batu 5, Jalan Kuala Perlis itu.

Pemangku Raja Perlis, DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menghadiri program Hijrah Minda MAIPs Bilangan Ke-15 bagi Tahun 2024 di Masjid Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Batu 5, Jalan Kuala Perlis.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Mufti Perlis, Sahibus Samahah Profesor Dato’ Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin; Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor, Timbalan Yang Dipertua MAIPs, YBrs. Dr. Haji Hazman Hassan; serta Rektor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), YBhg. Profesor Dr. Muhamad Rozaimi Ramle merangkap pengerusi ahli jawatankuasa masjid tersebut.

Dalam program berkenaan, baginda bertitah,

Jihad bukanlah sesuatu yang merujuk keganasan atau terorisme sepertimana yang digembar-gemburkan oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab dan cuba menyebarkan Islamofobia.

Pemahaman jihad dalam bentuk keganasan yang dilakukan oleh sesetengah pihak yang terpencil adalah tidak mewakili maksud jihad sebenar yang difahami oleh kebanyakan umat Islam.

Sesungguhnya, kita disuruh untuk hidup secara harmoni dan aman damai sesama manusia tidak kira sama ada Muslim ataupun bukan Muslim kerana Islam sentiasa memerintahkan kita menyantuni semua manusia tanpa mengira agama.

Dalam program yang sama, baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan kepada para petugas keceriaan Projek Transformasi Diraja Kampung Nelayan Warna-warni Seberang Ramai, Kuala Perlis.

Turut hadir dalam program tersebut ialah YBrs. Profesor Dr. Khairudin Aljunied dari Jabatan Pengajian Melayu, National University of Singapore (NUS) yang merupakan salah seorang pembentang kertas kerja dalam seminar yang turut dihadiri oleh Ustaz Muhammad Azri, iaitu Seminar Antarabangsa Peradaban Ummah Islam Jati Diri Melayu Tahun 2024 yang dianjurkan oleh MAIPs.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.