Oleh Aisyah A.
Diterbitkan pada 11 Mei 2023, 11:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Bekas Ahli Parlimen Hulu Langat, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus dilantik sebagai Yang Dipertua (YDP) Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) yang baharu menggantikan YDP sebelumnya, Nasruddin Hassan.

YADIM melalui kenyataan media pada 9 Mei 2023 berkata, pelantikan Hasanuddin itu dibuat oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang bersetuju dengan pelantikan tersebut berkata, Datuk Hasanuddin merupakan calon yang layak bagi jawatan tersebut kerana beliau mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang pengurusan dan hal ehwal masyarakat, dan sangat sesuai dengan gerak kerja YADIM yang melibatkan dakwah Islamiah kepada masyarakat.

Beliau juga sebelum ini aktif dalam aktiviti kemasyarakatan selain terlibat dengan badan-badan bukan kerajaan (NGO).

Selain itu, kenyataan tersebut turut memaklumkan bahawa Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan dan Komunikasi, Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP), Profesor Madya Dr. Adi Anuar Azmin@Che Wan turut dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua badan dakwah itu.

Lantikan ini dibuat kerana YAB Perdana Menteri berpendapat bahawa Dr. Adi mempunyai latar belakang dalam bidang pendidikan dan dapat membantu YADIM untuk melahirkan pendakwah-pendakwah tempatan yang lebih berkualiti sesuai dengan slogan YADIM, iaitu “Melestari Gerakan Dakwah”.

YADIM merupakan sebuah badan amanah yang berfungsi untuk menyelaraskan kegiatan NGO Islam dan rakan strategik dalam memasyarakatkan dakwah, melahirkan pendakwah yang berpengetahuan dan berkemahiran berasaskan kepada model Malaysia selain menggalakkan masyarakat berlumba-lumba membuat kebaikan dengan memberi kefahaman, pengamalan dan penghayatan Islam melalui kegiatan dakwah dalam aspek pendidikan, sosial dan kebajikan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi