29 April 2023, 15:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Shah Alam – Umat Islam tidak perlu meragui tentang penentuan arah kiblat masjid dan surau di Selangor.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, penentuan arah kiblat yang dilaksanakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor selaras dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia.

“Perkara ini berhubung dengan had berpaling yang dibenarkan daripada arah kiblat (Had al-Tahawwul ‘Ani al-Qiblat) yang menjelaskan bahawa arah menghadap kiblat merupakan perkara ijtihadi dan zanni.

“Penentuan had tidak melebihi tiga darjah bagi pesongan mihrab yang dibenarkan boleh dijadikan sebagai garis panduan dalam pembinaan masjid dan surau baharu,” ujar beliau menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini.

Tambahnya, “Pihak MAIS turut mewajibkan agar penentuan arah kiblat oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor ini dilaksanakan terlebih dahulu sebelum sesuatu masjid, surau atau musala yang baharu mula beroperasi.”

Sementara itu, beliau menjelaskan, dalam hal penentuan arah kiblat di Selangor, Jabatan Mufti Negeri Selangor sentiasa memberikan pencerahan dan hebahan dari semasa ke semasa berhubung kaedah penetapan arah kiblat kepada masyarakat sama ada melalui laman web dan media sosial rasmi Jabatan Mufti Negeri Selangor atau program pencerahan yang dilaksanakan.

“Arah kiblat masjid dan surau sedia ada di negeri Selangor telah disemak dan diperakukan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor,” tegasnya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

Yang Berkaitan

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.