Oleh Firdaus Mul
28 April 2023, 12:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bearing arah kiblat di Malaysia adalah antara 290 darjah hingga 293 darjah.

Jelas Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Tuan Haji Jamali Mohd Adnan, di Putrajaya, Kuala Lumpur dan Shah Alam, kiblat menghadap ke arah 292 darjah.

“Sekadar beralih ke kanan atau ke kiri sedikit tidak menjejaskan arah kiblat.

Akan tetapi, sekiranya beralih sampai 90 darjah atau 180 darjah, hal yang demikian sesuatu yang membimbangkan kerana boleh menyebabkan solat yang didirikan tidak menghadap arah kiblat yang sebenar-benarnya,” ujar beliau dalam temu bual “Selamat Pagi Malaysia” anjuran RTM, pada pagi ini.

Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Tuan Haji Jamali Mohd Adnan mengupas tajuk “Arah Kiblat: Jangan Ada Keraguan” ketika bersiaran dalam program “Selamat Pagi Malaysia” anjuran RTM, pagi tadi.

Menurut beliau, menghadap kiblat merupakan syarat sah mendirikan solat sebagaimana yang disebutkan oleh Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 150.

Berdasarkan ayat berkenaan, perintah daripada Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW, apabila mendirikan solat, hendaklah menghadap ke arah kiblat, yakni Kaabah atau Masjidil Haram dan perintah kepada seluruh umat Islam apabila mendirikan solat hendaklah menghadap ke arah kiblat yang betul.

Oleh itu, setiap Muslim dituntut berusaha bersungguh-sungguh dalam berijtihad untuk mendapatkan arah kiblat yang tepat sebelum melaksanakan ibadat solat, agar lebih yakin dan diterima oleh Allah SWT.

Sementara itu, beliau juga menjelaskan bahawa kepentingan mengetahui arah kiblat bukan sekadar sewaktu menjalankan ibadat solat, malah penting sewaktu mengebumikan jenazah, membaca ayat-ayat suci al-Quran, berdoa, menyembelih haiwan dan ketika tidur. Pada masa yang sama, Islam juga melarang manusia membelakangkan atau menghadap kiblat ketika membuang air.

Para ulama berbeza pandangan dalam kesilapan arah kiblat ketika melaksanakan solat. Pandangan pertama dalam mahzab Syafie, solat menghadap arah kiblat yang salah wajib diqada.

Sementara pandangan kedua, yakni pandangan majoriti ulama fiqah, jumhur ulama menyatakan bahawa tidak perlu qada solat yang telah dilakukan, jika ternyata tersalah kiblat yang dituju. Hal ini dikatakan demikian kerana apabila umat Islam mendirikan solat, mereka sudah pasti berijtihad. Hal ini membawa maksud, umat Islam berusaha bersungguh-sungguh untuk mencari arah kiblat yang sebenar-benarnya.

“Adapun kemudiannya; mungkin seminggu, setahun, dua tahun, baru mengetahui arah kiblat yang betul, jumhur ulama mengatakan bahawa solat yang didirikan tetap sah, dan tidak perlu diqada,” tegas Sahibus Samahah Tuan Haji Jamali.

“Dalam isu hukum fiqah termasuk isu berkaitan dengan penentuan arah kiblat dan sebagainya, kita bergantung kepada banyak pandangan.

“Kita mengambil pandangan daripada jumhur ulama ataupun majoriti ulama fiqah kerana mereka telah memikirkan dan mengeluarkan hukum ataupun fatwa yang lebih tepat dengan melihat kepada pelbagai suasana dan persekitaran,” tambah beliau lagi.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.