Oleh Azlin Asmuni
30 Januari 2023, 11:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sepang – Kepentingan pendidikan aliran agama kini menjadi faktor utama kepada ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah aliran agama seperti maahad tahfiz, sekolah pondok dan sekolah agama awam dan swasta seluruh di Malaysia.

Hal ini dikatakan demikian kerana ibu bapa semakin cakna dan sedar bahawa anak-anak mereka akan memperoleh pembangunan sahsiah diri yang cemerlang berlandaskan ajaran Islam sepenuhnya dengan pendekatan pembelajaran melalui bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Selaras dengan usaha itu, Dewan Bahasa dan Pustaka melalui Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja dan Kumpulan Pendidikan Kiblah telah bersama-sama menjayakan Karnival Pendidikan Islam pada 28 hingga 29 Januari 2023, bertempat di Kompleks Pendidikan Yakin, Sepang, Selangor.

Karnival Pendidikan Islam dijayakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dan Kumpulan Pendidikan Kiblah.

Aktiviti dalam Karnival Pendidikan Islam ini dimeriahkan dengan program Seronoknya Membaca, Pertandingan Tazkirah Lima Minit dan Program Sembang Orang Muda. Program Seronoknya Membaca yang berbentuk aktiviti didik hibur telah disertai oleh sebanyak 80 orang murid sekolah rendah, manakala Pertandingan Tazkirah Lima Minit telah menghimpunkan sebanyak 15 orang peserta akhir pertandingan ini.

Bagi program Sembang Orang Muda, dua orang ahli panel ilmuwan, iaitu Encik Muhammad Fawwaz Aminuddin dan Encik Muhammad Luqman Hakim Othman telah berkongsi pengalaman dan idea bersama-sama para penonton mengenai tajuk “Pentingnya Konsep Madani dalam Pendidikan”, manakala moderator program Sembang Orang Muda, iaitu Encik Amar Abd Rahman bijak mengatur dan membawa perbincangan ilmu ini sehingga penghujungnya.

Ahli panel dan moderator mengupas tajuk “Pentingnya Konsep Madani dalam Pendidikan” melalui program Sembang Orang Muda.

Karnival yang berlangsung selama dua hari ini dihadiri oleh para pelajar aliran agama di bawah naungan Kumpulan Pendidikan Kiblah yang terdiri daripada pelajar sekolah menengah, maahad tahfiz dan pelajar Kolej Profesional Kemahiran Kiblah dan pelajar sekolah agama awam dan swasta serta masyarakat setempat.

Selain menyediakan program untuk pelajar, penganjur juga tidak ketinggalan untuk bersama-sama meraikan ibu bapa dan penduduk setempat dengan program Kempen Derma Darah dan pemeriksaan gigi,  Larian 30 tahun Kiblah sepanjang lima kilometer, jualan buku ilmiah, jualan produk muslim dan pameran pendidikan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.