18 Mac 2022, 14:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kesihatan merupakan antara nikmat terbesar kurniaan Ilahi kepada manusia, namun manusia sering kali lalai, lalu melupakannya. Daripada Ibn Abbas r.a. bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud, “Dua nikmat yang kebanyakan orang sering terpedaya dengannya ialah nikmat kesihatan dan masa lapang.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari).

Kesihatan yang baik menjanjikan perjalanan kehidupan berkualiti dan sejahtera dan memberikan kesan yang positif kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara. Kesihatan yang baik juga dapat menambahkan kesempurnaan dan kekhusyukan dalam melaksanakan ibadat seperti solat, puasa, dan haji. Oleh sebab itu, Islam amat menitikberatkan amalan gaya hidup yang baik dan sihat. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

اَلْمُؤْمِنُ الْقَوِيُّ خَيْرٌ وَأَحَبُّ إِلىَ اللهِ مِنَ الْمُؤُمِنُ الضَّعِيْفِ

Maksudnya: Seorang Mukmin yang kuat itu lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah daripada seorang Mukmin yang lemah.

(Hadis riwayat Muslim)

Gaya hidup yang baik dan sihat bermaksud menjaga batasan syariat pemakanan, menjalani kehidupan yang aktif dan mencegah serta melindungi diri daripada gejala penyakit. Islam mengutamakan keseimbangan penjagaan rohani dan jasmani agar terbinanya umat Islam yang cerdas fikirannya dan kuat jasmaninya untuk membangunkan ummah dan memajukan watan.

Saban tahun, bilangan rakyat Malaysia yang menderita penyakit kegagalan fungsi buah pinggang semakin meningkat. Ketika ini dilaporkan terdapat hampir 50 000 pesakit yang mengalami kegagalan fungsi buah pinggang dan sedang menjalani rawatan dialisis. Bilangan ini terus meningkat berdasarkan angka pertambahan bilangan pesakit baharu dan dijangkakan jumlah pesakit yang memerlukan rawatan dialisis akan mencecah 106 000 orang pada tahun 2040. Sebanyak 30 peratus daripada jumlah pesakit berada dalam usia muda, iaitu di bawah usia 45 tahun.

Keadaan ini sangat membimbangkan kerana merawat pesakit buah pinggang memerlukan kos yang tinggi. Kos bagi rawatan dialisis yang diperlukan oleh setiap pesakit mencecah RM2900 sebulan, atau hampir RM35 ribu setahun. Majlis Agama Islam Perak pada masa ini membiayai perbelanjaan rawatan dialisis 576 orang asnaf, melibatkan hampir RM17 juta setahun. Perbelanjaan terus meningkat tahun demi tahun, disebabkan pesakit terus bertambah dan kos rawatan pula semakin mahal.

Buah pinggang merupakan antara organ terpenting dalam badan manusia.

Buah pinggang antara organ terpenting dalam tubuh manusia. Buah pinggang berperanan sebagai penapis dan pembersih darah untuk menyingkirkan pelbagai bahan kumuhan atau bahan kotor yang tidak diperlukan oleh badan manusia. Kegagalan buah pinggang bekerja mengakibatkan darah dan badan akan dipenuhi kekotoran beracun yang tidak dapat dikeluarkan.

Antara tanda penyakit buah pinggang termasuklah bengkak kaki, sembap muka, kulit kering dan gatal, kerap membuang air kecil terutama pada waktu malam atau menghadapi kesukaran membuang air kecil, cepat letih, hilang selera makan, loya dan muntah, kencing berbuih atau kencing berdarah serta sukar bernafas. Kegemukan, keradangan buah pinggang, batu karang, merokok serta pengambilan jamu, herba dan ubat tradisional tanpa kawalan, serta pengambilan ubat tahan sakit tanpa nasihat doktor boleh menjadi penyumbang kepada kerosakan buah pinggang. Penyakit kencing manis dan tekanan darah tinggi merupakan punca utama yang boleh menyebabkan kegagalan dan kerosakan buah pinggang berlaku dengan lebih cepat.

Untuk mengelakkan kita daripada mengalami kerosakan buah pinggang, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihati masyarakat tentang amalan berikut:

Kita hendaklah mengamalkan gaya hidup yang sihat bagi menjamin kesihatan buah pinggang.

Pertama: Amalkan gaya hidup sihat, mengawal berat badan, melakukan senaman sekurang-kurangnya 20 minit setiap hari sehingga mengeluarkan peluh atau paling tidak, tiga kali dalam seminggu, memastikan tidur dan rehat yang mencukupi, tidak merokok dan tidak mengambil minuman keras.

Kedua: Pengambilan makanan secara sihat, bahan protein dan gula yang tidak berlebihan, mengurangkan pengambilan garam dalam makanan, masak makanan dengan menggunakan minyak yang sedikit, jangan mengambil terlalu banyak lemak yang tepu, serta mengelakkan makanan segera kerana mempunyai kandungan garam yang tinggi, juga mengelakkan makanan yang mengandungi bahan pengawet yang terlampau banyak. Bahan makanan sihat yang sesuai untuk pesakit buah pinggang adalah seperti kubis bunga, putih telur, bawang putih, anggur merah dan kulit dan lemak ayam perlu dibuang sebelum dimasak.

Amalkan pemakanan yang sihat dan berkhasiat untuk mengelakkan kerosakan buah pinggang.

Ketiga: Oleh sebab penyakit buah pinggang tidak menunjukkan gejala awal, maka itu amat penting untuk dilakukan saringan atau pemeriksaan kesihatan secara berkala; melakukan pemeriksaan darah sekurang-kurangnya setahun sekali; dan dinasihatkan enam bulan sekali bagi yang sudah melepasi usia 45 tahun.

Keempat: Elakkan mengambil jamu, herba, ubat tradisional dan vitamin secara berlebihan tanpa mendapat nasihat daripada doktor kerana bahan tersebut yang diambil secara berlebihan akan memaksa buah pinggang untuk bekerja lebih daripada yang sepatutnya.

Kelima: Air membantu membersihkan kotoran dalam darah yang dikeluarkan melalui pembuangan air kecil. Air turut membantu membuka luas pembuluh untuk membantu menyalurkan darah ke buah pinggang. Oleh itu, amalkan meminum air dengan secukupnya.

Keenam: Melindungi kanak-kanak daripada terlalu awal dan terlalu kerap mengambil makanan segera yang mempunyai kandungan garam yang tinggi, dan minuman soda yang mempunyai kandungan gula yang tinggi kerana perkara ini akan menyebabkan buah pinggang kanak-kanak terpaksa bekerja lebih untuk memproses gula dan garam yang berlebihan dalam badan.

Di samping menjaga kesihatan, umat Islam diseru agar tetap berpegang pada akidah Islamiah berteraskan Ahli Sunnah Wal Jamaah, yang menjadi warisan Rasulullah SAW, para sahabat dan tabiin. Umat Islam juga hendaklah sentiasa menjaga hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia serta memakmurkan rumah Allah SWT dengan istiqamah mengerjakan ibadat, terutamanya solat fardu berjemaah. Selain itu, umat Islam diseru agar memperbanyak selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

Ya, Allah! Ya, Syafi! Kurniakanlah kepada kami kesihatan tubuh badan, kesihatan akal fikiran, kesihatan hati nurani dan kesihatan semua pancaindera kami.

Ya, Razzaq! Berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniailah rezeki yang berlipat ganda kepada mereka, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka; jauhilah golongan fakir dan miskin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya, Dza al-Jalali wa al-Ikram! Jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhkan kami daripada termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ya, Malik al-Mulk! Jauhilah negara kami daripada kehancuran disebabkan perbuatan rasuah; serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.

(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 18 Mac 2022, “Kesihatan Buah Pinggang: Tunaikan Hak terhadap Tubuh Badan”, Jabatan Agama Islam Perak)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.