4 November 2021, 23:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) membuat ketetapan baharu berhubung dengan aktiviti pengimarahan di masjid dan surau Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan berkuat kuasa hari ini.

Pengarahnya, Datuk Mohd Ajib Ismail dalam kenyataannya berkata, ketetapan baharu itu selaras dengan titah perkenan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

Antara ketetapan tersebut termasuklah mengurangkan penjarakan fizikal daripada 1.5 meter kepada satu meter.

Warganegara asing dan kanak-kanak berumur 12 tahun dan ke atas yang mendapat vaksin lengkap pula dibenarkan untuk menunaikan solat berjemaah di masjid dan surau.

“Murid tadika dan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) dibenarkan menghadiri kelas pengajian yang beroperasi dalam premis masjid dan surau berpandukan Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah.

“Majlis sosial seperti kenduri-kendara, majlis sambutan perayaan, majlis perkahwinan, majlis akikah dan lain-lain majlis sosial juga dibenarkan untuk diadakan di dewan masjid dan surau bagi individu yang telah lengkap menerima vaksin dengan 50 peratus kapasiti ruang dan penjarakan fizikal,” katanya.

Dalam pada itu, Datuk Mohd Ajib turut mengingatkan bahawa semua kebenaran tersebut tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan selaras dengan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.