25 Jun 2024, 15:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sepang – Kumpulan pertama jemaah haji Malaysia sebanyak 280 orang yang menaiki pesawat AMAL by Malaysia Airlines MH 8251 selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, sebanyak 100 penerbangan sewa khas disediakan oleh pihak AMAL by Malaysia Airlines dan Saudi Airlines bagi membawa kesemua jemaah haji hingga penerbangan terakhir yang dijadualkan pada 20 Julai nanti.

“Alhamdulillah, operasi haji pada tahun 1445 Hijriah/2024 telah sampai ke penghujungnya.

“Syukur ke hadrat Allah SWT atas limpahan rahmat dan kasih sayang-Nya jua, semuanya berjalan dengan lancar,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook beliau.

Beliau mendoakan agar Allah mengurniakan haji mabrur kepada semua jemaah haji Malaysia.

Beliau turut mengucapkan tahniah dan syabas kepada Lembaga Tabung Haji (TH) kerana telah meletakkan sepenuh komitmen untuk menyampaikan perkhidmatan yang bermutu tinggi dan tatakelola pengurusan yang amat cekap dengan pelbagai penambahbaikan demi kelancaran dan keselesaan ibadat para jemaah negara.

Tambah beliau, kesungguhan yang dipamerkan oleh TH ini juga terbukti dengan pengiktirafan oleh Kerajaan Arab Saudi melalui Anugerah Labbaittom bagi kategori kepuasan tertinggi dalam perkhidmatan buat kali ketiga berturut-turut baru-baru ini.

“Bagi pihak Kerajaan Malaysia, saya mengucapkan terima kasih kepada TH, agensi kerajaan, badan korporat, para dhuyuf al-rahman dan semua pihak yang telah membantu secara langsung dan tidak langsung bagi menjayakan operasi haji kali ini dan semoga amal kebajikan ini mendapat keberkatan di sisi Allah SWT,” katanya.

Kepulangan kumpulan pertama jemaah haji Malaysia semalam terdiri jemaah dari Kedah dan Kelantan yang meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing pada pukul 12.10 pagi.

Kepulangan mereka disambut oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain serta Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman.

Pihak TH turut menyiarkan secara langsung kepulangan kumpulan pertama jemaah haji Malaysia tersebut di Facebook rasmi TH, https://www.facebook.com/TabungHaji/videos/315658728285651.

Sumber Foto: Facebook Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.