23 Jun 2024, 09:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pemangku Raja Perlis, DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menzahirkan pujian kepada para jemaah haji Malaysia apabila disegani ramai atas nilai positif mereka.

Dalam kenyataan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), baginda bertitah,

Rata-rata penginapan dan khemah yang didiami jemaah haji Malaysia berada dalam keadaan bersih walaupun telah digunakan ramai.

Selain tersusun dari sudut pengurusan, para jemaah haji Malaysia turut disenangi kerana ketinggian budi pekerti dan adab, serta sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan Arab Saudi serta Lembaga Tabung Haji dan juga Kedutaan Besar Malaysia.

Tuanku Pemangku Raja bertitah, nilai dan ciri yang ditonjolkan harus dipertahankan dan MAIPs melalui jawatankuasa di bawahnya berhasrat untuk membudayakan nilai positif berkenaan agar dapat diterapkan dalam masyarakat, khususnya golongan muda.

Titah baginda,

Usaha menerapkan nilai positif berkenaan melalui silibus Sekolah Agama Petang Perlis (SAPP), penekanan dalam pengajaran kuliah agama dan khutbah, selain pendekatan santai melalui media sosial seperti podcast dan hantaran sebaran ringkas telah dan bakal dilaksanakan MAIPs.

Dalam perkembangan sama, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyerahkan sumbangan Tabung Ibnu Sabil MAIPs kepada Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah yang disampaikan Baginda kepada Konsul Jeneralnya, Roslan Sharif ketika berangkat tiba di Terminal Haji Lapangan Terbang Antarabangsa  King Abdulaziz Jeddah, Arab Saudi untuk mengerjakan ibadah haji baru-baru ini.

Turut berangkat bersama-sama dengan baginda ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan Paduka Anakanda Baginda berdua, Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail, Sharifah Farah Adriana Jamalullail serta Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah dan isterinya, Datin Zuhaila Abd Latif telah menyambut keberangkatan tiba baginda sekeluarga, dan diiringi oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Kata MAIPS dalam kenyataan pada pagi ini,

Sebanyak 7677 orang Malaysia di Arab Saudi, yakni 5675 orang daripada mereka bekerja, manakala sebanyak 2002 orang lagi merupakan ahli keluarga yang datang bersama.

Perkhidmatan pekerjaan yang utama bagi rakyat Malaysia adalah dalam bidang kejururawatan, iaitu sebanyak 3224 dan selebihnya bekerja dalam bidang professional, seperti jurutera dan akauntan, serta bekerja dalam bidang teknikal.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.