14 Jun 2024, 14:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bulan Zulhijah mengandungi pelbagai keistimewaan. Pada bulan tersebut, umat Islam diseru membanyakkan amal soleh, dan umat Islam dari seluruh pelosok dunia menuju ke tanah suci kota Makkah untuk menunaikan ibadat haji bagi memenuhi rukun Islam kelima. Ibadat haji wajib dilaksanakan sekiranya Muslim memiliki kemampuan sebagaimana firman Allah SWT:

(Surah Ali ‘Imran 3:97)

Maksudnya: “… Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu (bagi) orang yang mampu sampai kepadanya.”

Berpandukan ayat tersebut, Syeikh al-Maraghi mentafsirkan bahawa ibadat haji diwajibkan kepada setiap orang Muslim mukalaf yang berupaya dari segi fizikal, memiliki tubuh badan yang sihat, serta mempunyai kemampuan kewangan. Ibadat haji turut ditegaskan oleh Rasulullah SAW melalui sabda Baginda:

Maksudnya: “Wahai sekalian manusia, telah difardukan haji ke atas kamu. Lalu al-Aqra’ bin Habis bertanya: ‘Wahai Rasulullah, adakah ibadat haji itu wajib pada tiap-tiap tahun?’ Rasulullah bersabda: ‘Kalau aku katakan (begitu) haji akan menjadi wajib, kalau wajib (setiap tahun) kamu tidak mampu menunaikannya. Haji yang wajib hanyalah satu kali sahaja, sesiapa yang tambah (lebih daripada sekali) maka hal tersebut menjadi tatawwu‘ (sunat).’”

(Hadis riwayat Ahmad)

Ibadat haji menuntut umat Islam memiliki sifat sabar yang tinggi kerana urusan mengerjakan ibadat haji perlu menempuh ujian dan rintangan yang mencabar terutamanya semasa menuju ke Arafah, Muzdalifah dan Mina. Menjadi tanda kebesaran Ilahi, apabila umat Islam dari seluruh dunia berhimpun menyahut seruan Ilahi sebagai tetamu Allah dengan niat murni ingin menyucikan jiwa dan mendekatkan diri kepada Tuhan Maha Esa serta mendambakan haji yang mabrur. Kelebihan bagi mereka yang memperoleh haji mabrur ibarat seorang bayi yang baharu dilahirkan, suci bersih tanpa dosa selaras sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Sesiapa yang menunaikan haji dalam keadaan dia tidak bercakap perkataan buruk dan keji serta tidak melakukan perkara yang fasik, maka dia akan kembali sebagaimana dia dilahirkan oleh ibunya (iaitu dalam keadaan suci bersih daripada dosa).”

(Hadis riwayat al-Bukhari)

Ibadat haji mempertemukan umat Islam dari pelbagai bangsa, budaya, status dan latar belakang dari seluruh dunia.

Penghayatan ibadat haji memahamkan umat Islam bahawa ibadat haji bukan sekadar perjalanan lahiriah ke tanah suci, tetapi merupakan perjalanan rohaniah yang bertujuan membawa umat Islam lebih taqarrub (dekat) kepada Allah SWT. Hayati hikmah yang terkandung dalam ibadat haji seperti yang berikut:

1) Taubat dan pengampunan. Ibadat haji merupakan peluang terbaik untuk hamba-Nya bertaubat dan memohon pengampunan Allah SWT atas kesilapan lalu.

2)  Persaudaraan umat Islam. Ibadat haji mengumpulkan dan mempertemukan umat Islam dari pelbagai negara, budaya, kaum, latar belakang dan status, serta mengajar manusia erti persaudaraan dan kesatuan umat Islam, bahawa kita berada di bawah naungan Allah tanpa mengira bangsa atau warna kulit.

3)  Ketekunan dan kesabaran. Perjalanan haji tidak mudah kerana memerlukan  tenaga yang banyak, perjalanan yang jauh, mengalami keletihan dan menguji ketahanan. Demikian yang pernah dirasai oleh Hajar, isteri Nabi Ibrahim a.s. tatkala berlari dari bukit Safa dan Marwah untuk mendapatkan air minuman, memenuhi keperluan anaknya, Nabi Ismail a.s. Namun begitu, dengan niat yang ikhlas, dipandu dengan ilmu, iman dan kesabaran, insya-Allah perjalanan ibadat haji dipermudah oleh Allah SWT.

4) Kesedaran tentang kematian. Berada di tanah suci akan mengingatkan diri kita tentang kematian. Setiap manusia pasti kembali kepada Allah. Ibadat haji mengajar kita mempersiapkan diri untuk menghadapinya.

Kemuncak pelaksanaan ibadat haji ialah berwuquf di Arafah pada 9 Zulhijah sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Haji ialah Arafah.”

Hari Arafah mempunyai pelbagai kelebihan, antaranya hari yang Allah SWT membebaskan paling banyak hamba-Nya daripada api neraka.”

Hari Arafah merupakan bukti kasih sayang Allah SWT kepada umat Islam apabila memberikan kelebihan kepada mereka yang berwuquf di Arafah memperoleh masa dan tempat mustajab doa serentak pada satu masa.

Mereka yang tidak mengerjakan haji turut berpeluang meraih ganjaran kelebihan hari Arafah, iaitu dengan berpuasa sunat pada 9 Zulhijah sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Muslim bermaksud, “Puasa pada hari tersebut (hari Arafah) akan menghapuskan dosa setahun yang lalu dan akan datang.”

Ibadat haji menuntut kesabaran yang tinggi kerana jemaah haji perlu menempuh ujian yang mencabar terutamanya semasa wuquf di Arafah.

Oleh itu, kesimpulannya adalah seperti yang berikut:

Pertama: Demi memenuhi tuntutan rukun Islam kelima, umat Islam dianjurkan supaya berusaha menunaikan ibadat haji dengan melakukan persiapan awal seperti mendaftar nama di Tabung Haji, merancang perbelanjaan dan simpanan, dan menjaga kesihatan diri pada setiap masa.

Kedua: Haji yang mabrur yang dilaksanakan dengan sempurna syarat dan rukun, serta disusuli penghayatan, akan memadamkan segala dosa yang lalu dan jiwa kembali bersih. Perbanyakkan berdoa pada hari Arafah terutama pada waktu jemaah haji sedang berwuquf. Semoga Allah SWT memperkenankan doa setiap hamba-Nya.

Ketiga: Perhimpunan umat Islam dari pelbagai rupa, bahasa, budaya dan negara wajib dijadikan iktibar untuk umat Islam mempertautkan ukhuwah Islamiah, mencari titik pertemuan yang lebih menguntungkan umat Islam seperti bersatu membela penindasan saudara Islam di Palestin, mengetepikan fahaman politik sempit, lalu sepakat mengamalkan sikap saling menghormati dan merendah diri kerana manusia di sisi Allah SWT adalah sama, yang membezakan manusia ialah tahap amalan dan takwa.

 

(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 14 Jun 2024, bertajuk “Ibadat Haji: Menyucikan Hati – Taqarrub Ilahi”)

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.