Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sanglang – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memperkenalkan inisiatif baharu berupa Sumbangan Bantuan Prauniversiti MAIPs.

Berdasarkan inisiatif tersebut, setiap pelajar Perlis akan diberikan RM1200 sejurus memasuki semester kedua pengajian.

Sesi pelancaran disempurnakan oleh Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di sini, hari ini.

Hadir sama mengiringi baginda ialah Menteri Pendidikan Malaysia, YB Fadhlina Sidek dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Menteri Pendidikan Malaysia, YB Fadhlina Sidek berucap ketika mengiringi Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail pada Majlis Pelancaran Sumbangan Bantuan Prauniversiti MAIPs.

YB Fadhlina menyambut baik inisiatif nurni MAIPs tersebut dan berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia memberikan perhatian kepada pelajar tingkatan enam terutamanya yang terdiri daripada kalangan anak B40.

“Meskipun kurang berkemampuan, hal tersebut tidak menjadi penghalang untuk meraih keputusan yang cemerlang di peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang memberangsangkan seterusnya berjaya menempatkan diri mereka ke peringkat universiti,” katanya.

Program simbolik pelancaran tersebut diadakan bersekali dengan aktiviti Kayuhan MAIPs Peduli di sekitar Sanglang.

Menyentuh tentang program kayuhan yang disertai oleh beliau mengiringi Tuanku Pemangku Raja, YB Fadhlina menyatakan bahawa aktiviti yang dianjurkan oleh MAIPs yang bertujuan untuk menyantuni dan menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

Perkara tersebut secara tidak langsung akan menjadi sumber kekuatan anak-anak daripada keluarga yang kurang bernasib baik untuk berjaya dalam pendidikan bagi mengubah nasib keluarga mereka.

“Saya sangat teruja dan gembira kerana dapat bersama-sama menyertai program ini, menyaksikan bagaimana Tuanku Pemangku Raja Perlis sendiri turun padang, berjumpa dengan masyarakat dan menyalurkan bantuan secara terus.

“Hal yang demikian merupakan teladan yang sangat tinggi bagi memastikan rakyat yang memerlukan mendapat perhatian daripada pemerintah dan pemimpin negeri tatkala negara ini ‘kebanjiran idola dan ketandusan teladan’,” tambah beliau lagi.

Dalam program yang sama, Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs turut berkenan untuk menyerahkan wang tunai berjumlah RM700, Kits MAIPs Peduli serta beras fidyah kepada tiga keluarga asnaf yang terpilih pada kali ini.

Kayuhan amal sejauh 15 kilometer tersebut turut disertai oleh ketua jabatan dan agensi persekutuan dan negeri di Perlis bagi sama-sama menyelami dan mendengar masalah rakyat seterusnya mencari penyelesaian yang terbaik.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.